Majikan-majikan beratur menunggu giliran untuk dipanggil bagi pendaftaran E-Kad pekerja warga asing mereka di Ibu Pejabat Imigresen di Putrajaya di sini.

PUTRAJAYA – Majikan-majikan yang membuat pendaftaran bagi mendapatkan kad sementara “Enforcement Card” (E-kad) untuk pekerja warga asing mereka, memberi 1001 alasan berhubung sikap mereka yang menggunakan saat akhir untuk tujuan itu.

Tinjauan MalaysiaGazette di Ibu Pejabat Imigresen di sini mendapati, bermacam rungutan diluahkan meskipun ada yang menyedari ia merupakan kesilapan sendiri.

Seorang majikan, Azman Shah Abd Murad, 46, berkata, terdapat kelemahan-kelemahan di pihak Imigresen dalam mengendalikan urusan berkenaan yang dianggap kurang efisien.

Azman Shah Abd Murad

Katanya, dia datang ke pejabat Imigresen di sini sebanyak tiga kali sejak Rabu lalu, namun urusan bagi tujuan itu masih juga belum dapat diselesaikan.

“Sepatutnya mereka (Imigresen) menyediakan lebih banyak kaunter untuk urusan ini agar lebih cepat dan menyenangkan.

“Keadaan menjadi bertambah lambat apabila berlaku masalah teknikal pada sistem mereka hingga memaksa ada urusan perlu ditangguhkan,” katanya yang mahu mendaftarkan seramai 12 pekerja warga Bangladesh di syarikat pembinaannya.

Seorang pengusaha stesen minyak, Abd Rahman Selamat, 53, pula memberitahu, apa yang dialaminya hari ini sama seperti pengalaman ketika kerajaan mengadakan program pemutihan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) sebelum ini.

Abd Rahman Selamat

Katanya, pihak imigresen sepatutnya belajar daripada pengalaman yang pernah dilalui dan perlu bersiap sedia dengan apa yang mereka sendiri mahu lakukan.

“Tengoklah, ramai yang terpaksa menunggu lama macam yang dapat dilihat hari ini.

“Memanglah salah kami tapi, mereka sepatutnya bersiap sedia lebih awal kerana keadaan seperti ini memang akan berlaku,” ujarnya.

Chia Chin Sing

Sementara itu, seorang pengurus syarikat pembinaan, Chia Chin Sing, 36, berkata, ketidakcekapan jabatan berkenaan dalam mengurus situasi menjadi penyebab ada majikan yang berang dan marah-marah ketika berurusan di kaunter.

“Memanglah kami tahu ini salah kami. Tapi mereka (Imigresen) kenalah bersedia dengan sebarang kemungkinan yang akan dihadapi,” katanya lagi – MalaysiaGazette