JAKARTA – Seorang pemimpin organisasi Islam kedua terbesar di Indonesia menyeru rakyat negara itu boikot Starbucks kerana menyokong homoseksual, yang nyata merosakkan teras agama dan budaya negara Asia Tenggara.

Kecuali di Aceh, homoseksual dibenarkan di Indonesia namun serangan ke atas komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) telah meningkat di negara itu.

Anwar Abbas daripada organisasi Muhammadiyah yang mempunyai 30 juta ahli berkata, kerajaan negara itu patut membatalkan lesen Starbucks kerana syarikat itu menyokong komuniti LGBT yang tidak selari dengan ideologi Indonesia.

“Kalau Starbucks hanya buat bisnes tidak mengapa. Tetapi jangan bawa ideologi ke sini,” kata Abbas.

PT Sari Coffee, yang memegang lesen Starbucks, adalah entiti sah yang selalu mematuhi peraturan dan menghargai nilai budaya di Indonesia.

“Kami juga menghargai latar belakang agama, para pelanggan dan pekerja kami,” kata Fetty Kwartati, pengarah di PT MAP Boga Adiperkasa Tbk.

Ditanya mengapa menentang operasi Starbucks, Anwar berkata, dia dimaklumkan bahawa Pengerusi Kumpulan Starbucks, Howard Schultz seorang pro-LGBT. – MalaysiaGazette