BEGINILAH keadaan kilang terbakar di Kulai petang tadi.

KULAI – Sebuah kilang di kawasan perindustrian Senai 3 yang dipercayai menjadi stor simpanan mercun dan barangan lusuh dilaporkan terbakar pada 5.19 petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Kulai, Solleh Nasir berkata, operasi pemadaman masih giat dijalankan buat masa ini bagi mengelak ia merebak ke kilang bersebelahan.

“Kita menerima laporan pada 5.19 petang dan tiga buah jentera dengan kekuatan 17 anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

“Sejurus sampai, pihak bomba mendapati berlaku kebakaran melibatkan sebuah kilang berukuran 100 kaki 40 kaki persegi,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, siasatan awal mendapati, kilang itu yang merupakan sebuah stor simpanan barang lusuh dipercayai turut menjadi tempat simpanan mercun.

Dalam pada itu, kejadian kebakaran itu turut menjadi tular di media sosial, malah ada pengguna media sosial juga memuat naik gambar kebakaran membabitkan kilang tersebut. – MalaysiaGazette.