Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan bersalaman bersama orang ramai sambil diiringi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya peringkat negeri Selangor di Padang Perbandaran MPAJ Pandan Indah, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 02 JULAI 2017.

AMPANG – Penasihat DAP, Lim Kit Siang tidak mempunyai kuasa untuk menentukan siapa layak menjadi Menteri Besar (MB) Kelantan yang baharu selepas pilihan raya umum sekiranya Pakatan Harapan menang.

Sebaliknya, keputusan itu hanya boleh dibuat oleh rakyat di negeri berkenaan yang berhak memilih individu untuk mewakili mereka, kata Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Kita serahkanlah kepada rakyat Kelantan untuk membuat pertimbangan dalam pilihan raya akan datang.

“Siapakah yang wajar mewakili mereka di sesebuah kawasan dan di sesebuah negeri,” katanya yang juga Menteri Besar Selangor itu ketika ditemui pada Majlis Rumah terbuka Aidilfitri peringkat Negeri Selangor di sini hari ini.

Mohamed Azmin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan, Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (PAN), Faiz Fadzil Khamis lalu yang mengesyaki Kit Siang mempunyai agenda tersembunyi ekoran mahu menamakan Datuk Husam Musa sebagai calon MB Kelantan jika PH memenangi pilihan raya di negeri itu.

Faiz turut mendakwa, ada udang di sebalik batu yang cuba dilakukan oleh Kit Siang jika benar-benar cadangannya itu menjadi kenyataan.

“Itu sekadar pandangan peribadi. Tetapi akhirnya yang menentukan adalah rakyat di negeri Kelantan,” tambah Azmin.

Shamsul Iskandar Md. Akin

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Md. Akin yang ditemui MalaysiaGazette pada majlis yang sama berpendapat, Kit Siang berhak memberikan pandangannya sahaja bukan menentukan calon MB di Negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Katanya, ia bukanlah satu keputusan yang rasmi tetapi satu kecenderungan untuk memilih mana-mana pemimpin yang disukai untuk menerajui Kelantan.

“Macam saya cendurung memilih sesiapa untuk jadi MB di sesebuah negeri, tidak boleh itu menggambarkan pendirian parti dan sebagainya.

“Pandangan yang diberikan dalam bentuk ceramah umum itu sekadar pandangan peribadilah. Jadi, saya beranggapan itu pandangan peribadi Kit Siang,” ujarnya. – MalaysiaGazette