Prof Dr. Ahmad Murad Merican

KUALA LUMPUR – Kedudukan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan sepatutnya tidak perlu dibahaskan kerana Malaysia sudah pun 60 tahun mencapai kemerdekaan.

Perlembagaan negara sudah jelas memaklumkan kedudukan bahasa Melayu dan rakyat perlu memahami perkara tersebut.

Lantaran itu, Prof. Datuk Dr. Ahmad Murad Merican dari Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa Universiti Sains Malaysia berkata, isu-isu melibatkan pendidikan dan martabat bahasa Melayu tidak wajar dijadikan retorik dalam kalangan rakyat negara ini.

“Bahasa Melayu adalah Bahasa Kebangsaan dan mengapa ia dijadikan sentimen?,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kelonggaran kelulusan bahasa Melayu bagi lantikan kontrak Pegawai Perubatan Gred UD41.

Tegasnya, dalam isu ini kerajaan tidak perlu ada kompromi. Mereka mesti belajar bahasa Melayu dan kursus boleh dianjurkan untuk graduan berkenaan.

“Jika mereka warga Malaysia, mereka mesti mempunyai sikap dan nilai yang betul terhadap Bahasa Kebangsaan, tidak kira di mana mereka belajar atau bersekolah.

“Ini soal sikap dan nilai kebangsaan serta kenegaraan yang menjadi asas kepada setiap pemegang kad pengenalan Persekutuan. Tidak perlu pun berdebat isu ini dalam media,” ujarnya.

Beliau yang membantah tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu berkata, perlu satu klausa dalam peraturan perkhidmatan awam untuk mengenakan tindakan kepada mana-mana penjawat awam yang mempersoalkan pelaksanaan dasar yang bertentangan dengan Perlembagaan.

Ahmad Murad berkata, kerajaan perlu bersikap authoritarian berhubung isu ini, jika tidak, isu melibatkan bahasa Melayu akan berulang lagi pada masa depan.

Ini bukan soal tidak ada timbang rasa, fleksibiliti atau kemanusiaan tetapi jika Perlembagaan negara boleh dijadikan sentimen, bermakna ia tidak dihormati dan itu bukan isyarat yang baik. – MalaysiaGazette