GOLD COAST – Lapangan terbang Gold Coast akan menyiasat insiden pesawat AirAsia X yang terpaksa mengubah laluan ke Brisbane tidak lama selepas berlepas dari lapangan tersebut,

Dalam kenyataannya, lapangan terbang berkenaan mengesahkan penerbangan D7207 menuju Kuala Lumpur menghadapi masalah disebabkan dilanggar sekumpulan burung selepas berlepas.

“Pesawat tersebut telah menukar haluan ke Brisbane dan mendarat dengan selamat. Lapangan Terbang Gold Coast sedang bekerjasama dengan semua pihak untuk menyiasat insiden ini.

“Keselamatan penumpang adalah keutamaan kami,” katanya.

Tambahnya, lapangan terbang tersebut telah lama mempunyai hubungan dengan pakar pengurusan serangan burung yang menyediakan nasihat teknikal dan bantuan dalam pengurusan aktif hidupan liar.

Airbus A330 itu dipercayai telah dilanggar oleh burung dan menjejaskan enjinnya dalam kejadian pada 10.20 malam (waktu tempatan) tidak lama selepas berlepas dari lapangan terbang Gold Coast.

Pesawat berkenaan mempunyai 345 penumpang dan 14 krew penerbangan selamat mendarat di Brisbane pada jam 11.33 malam. – MalaysiaGazette