Jahara Hamid

PULAU PINANG – UMNO Pulau Pinang mengharapkan kerjasama dan komitmen parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) untuk merampas kembali negeri ini daripada DAP.

Ketua Pembangkang, Datuk Jahara Hamid berkata, UMNO negeri ini hanya diperuntukkan 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihan raya umum dan memenangi 10 daripadanya pada pilihan raya umum lalu.

Sehubungan itu, untuk kembali mentadbir negeri ini, ujar beliau, BN perlu memenangi sekurang-kurangnya 21 kerusi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 sekali gus berharap dapat disumbangkan parti komponen BN seperti Gerakan, MCA dan MIC.

“Dari sudut gerak kerja, BN Pulau Pinang sudah bersedia untuk berdepan Pilihan Raya Umum Ke-14 pada bila-bila masa memandangkan jentera pilihan raya BN juga sudah lama turun padang dan bekerja mendekati rakyat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, Jahara menyeru penduduk negeri ini khususnya orang Melayu membuat penilaian terhadap dasar-dasar Kerajaan DAP Pulau Pinang selepas hampir lapan tahun mentadbir negeri ini.

Menurut beliau, sepanjang tempoh itu, banyak kontroversi tercetus membabitkan pentadbiran kerajaan negeri yang jelas memberi kesan buruk kepada masa depan negeri ini dalam pelbagai sudut.

“Isu dan kontroversi yang menjurus kepada penyalahgunaan kuasa tidak boleh diperbetulkan lagi pada masa hadapan terutama penjualan tanah kerajaan negeri yang merupakan satu kerugian besar kepada penduduk negeri ini,” katanya.

Ketika ini, Kerajaan DAP Pulau Pinang terbentuk menerusi gabungan 19 kerusi DUN oleh DAP; PKR (10); Pas (1) manakala UMNO mempunyai 10 kerusi DUN yang dimenangi pada PRU-13 lepas. – MalaysiaGazette