PETALING JAYA – Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) telah membuat penetapan supaya semua kakitangan kerajaan yang memegang jawatan kontrak perlu mempunyai kelulusan kredit untuk mata pelajaran Bahasa Melayu (BM) dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai tahun ini.
Pengerusi SPA, Tan Sri Arpah Abd. Razak berkata, “semua penjawat awam termasuk yang berkontrak adalah tertakluk kepada syarat yang sama, melainkan mendapat pengecualian daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).”
Arpah berkata, selain daripada pegawai perubatan yang disyaratkan untuk memperoleh kelulusan (tanpa kredit) dalam BM,  penjawat awam yang lain harus mempunyai kredit dalam mata pelajaran tersebut.
“Jawatan D41 Kementerian Kesihatan yang dikategori sebagai House Officer berkontrak dan doktor dalam hospital adalah terkecuali dan tidak perlu memenuhi syarat kelulusan BM,” katanya kepada Sinchew Daily.
Mengulas lanjut, sekiranya penjawat kontrak berdepan masalah kerana soal kelulusan BM, penyelia mereka boleh memanjangkan isu itu mengikut kes individu kepada JPA supaya syarat penggajian dilonggarkan.
Arpah bagaimanapun tidak memberi jawapan yang jelas berhubung pertanyaan wartawan mengenai tempoh yang diberikan kepada penjawat awam untuk mengambil semula SPM bagi mencapai kelulusan BM.
Beliau sebaliknya berkata, semua penjawat awam secara rasionalnya harus mendapat kelulusan kredit untuk mata pelajaran BM melainkan untuk jawatan tertentu yang memerlukan kepakaran, kemahiran dan pengalaman pekerja.
“Mereka yang mempunyai kepakaran berkenaan boleh memperoleh layanan istimewa JPA,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri,Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Joseph Entulu Belaun dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S.Subramaniam diminta memberi penjelasan berhubung kelonggaran syarat lulus BM di peringkat SPM.
Kedua-dua menteri itu dilapor akan diminta memberi penjelasan pada mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu sebagai pencerahan terhadap isu yang menjadi polemik di akar umbi, terutama di kalangan pejuang bahasa kebangsaan. – MalaysiaGazette