Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap pada sidang media mengenai syarat lulus Bahasa Melayu SPM bagi lantikan pegawai perubatan di Kementerian Kesihatan di Kompleks D Kementerian Dalam Negeri (KDN), Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 05 JULAI 2017

PUTRAJAYA – Kabinet menetapkan tidak akan mengizinkan sebarang kelonggaran syarat lulus Bahasa Melayu (BM) untuk sebarang jawatan awam.

Perkara itu diberitahu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selepas Mesyuarat Kabinet hari ini yang memutuskan kelonggaran syarat kelayakan lulus dengan kepujian Bahasa Melayu peringkat Sijil Pelajaran Malaysia bagi lantikan kontrak Pegawai Perubatan Gred UD41 ditarik balik.

“Tiada sebarang kelonggaran berkaitan BM diizinkan untuk sebarang jawatan. Jemaah Menteri komited untuk mempertahankan Perkara 152 yang termaktub dalam Perlembagaan.

“BM adalah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi Persekutuan, selaras dengan Perkara 152 dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Akta 32),” katanya pada sidang di sini sebentar tadi.

Sebelum ini, isu kelonggaran syarat kelayakan BM di peringkat SPM untuk pengambilan pegawai perubatan Gred UD41 secara kontrak hangat diperdebatkan, selepas Kementerian Kesihatan mengeluarkan kenyataan mengenainya.

Terdahulu, Ahmad Zahid mempengerusikan Mesyuarat Kabinet yang antaranya membincangkan isu kelonggaran syarat lulus Bahasa Melayu dalam lantikan kontrak Pegawai Perubatan yang menimbulkan polemik dan bantahan umum.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid berkata, Kabinet juga memutuskan supaya Akta Perubatan 1971 dipinda bagi mewajibkan perkhidmatan pegawai perubatan selama dua tahun selepas tamat ‘housemanship’ dan memasukkan syarat lulus BM.

“Kita menyerahkan perkara ini kepada Kementerian Kesihatan untuk berbincang dengan Peguam Negara, sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat,” ujarnya. – MalaysiaGazette