KUALA LUMPUR – Felda Prodata Sdn Bhd dan Sinergi Perdana Sdn Bhd mengumumkan kerjasama selama lima tahun untuk membolehkan Sinergi Perdana memulakan perisian awan persendirian penuh, “ProTruz Cloud”, yang dijanakan oleh platform teras digital SAP iaitu SAP S/4HANA yang disediakan oleh Felda Prodata.
Felda Prodata adalah anak syarikat milik penuh Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV).
Berikutan keperluan untuk mentransformasikan operasi digital, pengenalan sistem ini adalah cara terpantas dan mudah kepada Sinergi Perdana untuk akses aplikasi misi kritikal seperti kewangan, logistik dan pengurusan sumber manusia dengan sistem awan sebagai pengurus perkhidmatan.
Menerusi kerjasama ini, Sinergi Perdana dijangka meningkatkan kepantasannya dalam mengesan perubahan keperluan perniagaan secara strategik.
Selain itu, sistem ini akan mengoptimumkan aliran tunai disebabkan perubahan daripada CAPEX ke OPEX.
Felda Prodata, merupakan salah satu syarikat sistem integrasi berasaskan ICT dan rakan SAP yang diiktiraf, akan menjadi penyedia penyelesaian kepada Sinergi Perdana, iaitu sebuah konsortium yang dibentuk oleh tiga agensi perladangan iaitu Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Felcra Berhad dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).
Sinergi Perdana berperanan untuk membolehkan ketiga-tiga agensi ini mengkoordinasikan perancangan dan strategi dalam menerokai pelbagai kerjasama perniagaan terutamanya dalam perniagaan baja dan agronomi.
“Manfaat daripada inisiatif ini adalah keupayaan untuk menggunakan sistem penyelesaian ERP iaitu SAP S/4HANA untuk optimumkan infrastruktur dan juga perkhidmatan profesional, tanpa perlu risau terhadap pelaburan aset yang besar yang mana ini membantu mencapai pengurangan jumlah kos ditanggung.
“Kami boleh memberi lebih fokus kepada operasi dengan lebih tenang menerusi model sokongan berintegrasi yang disediakan oleh Felda Prodata.
“Kami percaya Felda Prodata mempunyai pengetahuan yang luas terutamanya dalam industri perladangan untuk menyediakan sokongan penuh dari infrastruktur hingga aplikasi,” kata Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Kumpulan Sinergi Perdana, Bashir Muhammad. – MalaysiaGazette
















