Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.

KUALA LUMPUR – Selepas menggempur syarikat kereta pajak hari ini Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendesak kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap portal yang menjual kereta.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan mahu Suruhanjaya Komunikasi Media Malaysia (SKMM) mencari mekanisme melindungi orang ramai menjadi mangsa penipuan pembelian kereta melalui jualan atas talian.

PPIM dan  dan Persatuan Penjual Kereta Selangor dan Kuala Lumpur (FMC) mendakwa menerima kira-kira 30,000 aduan dalam kes yang sama.

“SKMM dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) perlu ada mekanisme untuk mengenal pasti dan maklumat peribadi penjual adalah sah sebelum dibenarkan menggunakan platform atas talian berkenaan.

“Contohnya, maklumat MyKad, nombor pendaftaran perniagaan yang sah sebelum boleh memuat naik sebarang iklan.

“PPIM dan FMC meminta perhatian Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Salleh Said Keruak untuk memberi perhatian berhubung penguatkuasaan SKMM,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Turut hadir, Presiden FMC, Khoo Kah Jin yang turut bekerjasama mencari penyelesaian isu penipuan atas talian menerusi platform jualan atas talian.

Nadzim berkata, SKMM perlu melaksanakan tindakan seperti menyekat laman web atau platform yang dikesan disalah guna untuk penipuan.

Katanya, dengan adanya penguatkuasaan platform berkenaan akan lebih bertanggungjawab terhadap sebarang urus niaga menerusi taliannya.

“PPIM dan FMC meminta perhatian Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Salleh Said Keruak untuk memberi perhatian berhubung penguatkuasaan SKMM,” katanya.

Mengulas lanjut itu, Kah Jin, berkata pihaknya sudah memaklumkan kepada platform berkenaan dengan mengemukakan beberapa laporan polis namun tiada sebarang tindakan diambil oleh platform berkenaan.

“Tanpa penguatkuasaan, platform itu lepas tangan dan sebaliknya meminta pengguna bertanggungjawab mencari dan menangkap sendiri penipu berkenaan.

“Platform terbabit yang sepatutnya membayar ganti rugi jika barang yang dibeli tidak diperolehi” katanya.

Sementara itu, Nadzim berkata, dianggarkan  sebanyak 11 aduan diterima PPIM setiap bulan membabitkan penipuan jual beli kereta.

“Modus operandi penipu menawarkan kereta dengan harga murah  dengan pembayaran wang pendahuluan yang murah sebelum menghilangkan diri kemudian, penipu akan menutup akaun berkenaan dan membuat akaun lain pula menggunakan taktik sama,” katanya.- MalaysiaGazette