DOHA – Beratus-ratus ekor unta mati kehausan selepas penternak warga Qatar diusir dari Arab Saudi akibat perbalahan diplomatik yang menyebabkan mereka terpaksa merentasi gurun.

Haiwan tersebut rebah di sempadan antara kedua-dua negara manakala hanya beberapa ratus ekor unta sahaja yang dibenarkan menyeberangi sempadan setiap hari.

Baki unta itu dimasukkan ke dalam kandang yang besar dan ditinggalkan pada cuaca yang mencecah 50 darjah Selsius. Beberapa orang pemilik haiwan tersebut berkata, unta peliharaan mereka berada dalam kumpulan dan mereka mengambil masa beberapa hari dalam bulan Ramadan cuba untuk mengenalpasti unta masing-masing.

Terdapat juga haiwan lain yang dibiarkan mati di tepi jalan. Beberapa orang penternak meninggalkan haiwan mereka manakala ada juga membawa pulang ternakan masing-masing selepas dua minggu pertelingkahan diplomatik berlaku.

Pemilik unta, Said Al Hajari berkata: “Adalah sukar, unta ini kepenatan kerana mereka tidak tahu mana mahu dutuju,”.

Seorang lagi pemilik unta, Hussein Al-Marri dari Abu Samra berkata: “Saya telah pulang dari Arab Saudi. Saya sendiri melihat lebih 100 ekor unta mati di atas jalan dan beratus-ratus lagi unta dan kambing biri-biri hilang (tiada pemilik),”.

Di sempadan Qatar, kementerian alam sekitar menyediakan tempat perlindungan, air dan makanan kepada lebih 8,000 unta selepas pertelagahan berlaku.

Para pegawai berkata, doktor haiwan dan pakar haiwan juga dikerahkan bagi membantu dan lebih banyak tempat perlindungan di Qatar akan disediakan, lapor akhbar, The Peninsula.

Bagaimanapun terdapat laporan bercanggah mengenai bilangan mangsa krisis negara-negara Teluk itu, iaitu antara 12,000 hingga 25,000 haiwan yang mati.

Para penternak dari Qatar, berkeluasan 4,400 batu persegi, sering melepaskan haiwan ternakan mereka meragut kawasan yang lebih luas di negara jiran.

Pada awal Jun lalu, Arab Saudi, Kuwait, Mesir dan Emiriyah Arab Bersatu memutuskan hubungan dan mengenakan sekatan ke atas Doha berikutan hubungan rapatnya dengan Iran dan didakwa mempunyai hubungan dengan ekstrimis.

Terdapat lebih sejuta haiwan di Qatar, termasuk kambing biri-biri, unta dan kambing.

Seorang jurucakap Pertubuhan Untuk Perlindungan Haiwan di Luar Negara (Spana) berkata: Adalah menjadi kebiasaan di seluruh dunia, binatang dan haiwan ternakan yang menjadi mangsa konflik dan pertelingkahan politik dilupai.

“Sebelum ini, situasi yang kita lihat adalah tidak terkira – di Somalia, Mali dan banyak lagi.

“Adalah penting bahawa kebajikan haiwan diberi keutamaan dan haiwan-haiwan ini menerima keperluan seperti makanan, air, tempat perlindungan dan akses kepada penjagaan kesihatan.

“Adalah penting juga untuk mengingati bahawa manusia bergantung kepada binatang yang digunakan untuk bekerja pada masyarakat miskin – pada kebiasaannya haiwan ini sahaja yang mereka miliki dan penting dalam kehidupan mereka. Kehilangan haiwan boleh memberi kesan buruk kepada keluarga ini,”. – MalaysiaGazette