Reaksi ceria Menteri Belia dan Sukan, Yb Khairy Jamaludddin sambil diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia 2017, Datuk Seri Zolkples Embong (dua kanan), Timbalan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Marathamuthu Subramaniam (kanan) dan Setiausaha Agung, Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo (kiri) pada Majlis Perasmian Larian Sukan Sea 2017 di Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALM, 22 MEI 2017

KUALA LUMPUR – Tarikh tutup pendaftaran bagi menyertai Larian Sukan SEA 2017 yang dijadualkan pada 19 Ogos ini telah dilanjutkan bagi memberi peluang orang ramai turut merasai kemeriahan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 nanti.

Tarikh tutup pendaftaran Larian Sukan SEA 2017 yang sebelum ini ditetapkan pada 30 Jun 2017 kini dilanjutkan sehingga 25 Julai ini untuk memastikan lebih ramai mendaftarkan diri sebagai peserta larian bersempena temasya ke-29 itu.

Lokasi acara itu bagaimanapun kekal iaitu di laluan Putrajaya pada hari dan lokasi yang sama bagi acara marathon 42km Sukan SEA 2017 pada 19 Ogos ini.

Larian Sukan SEA 2017 merupakan anjuran Jawatankuasa Penganjur Malaysia (MASOC) Sukan SEA, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Persekutuan Olahraga Malaysia (MAF) dan terbuka kepada semua rakyat Malaysia dan asing.

Ketua Pegawai Eksekutif MASOC Datuk Seri Zolkples Embong berkata, pihaknya telah melanjutkan tarikh tutup acara berkenaan sebagai membuka peluang luas kepada peminat sukan yang baru kembali dari cuti panjang musim perayaan Aidilfitri.

“Peserta berpeluang memenangi pelbagai hadiah cabutan bertuah sempena larian, termasuk tiket penerbangan ke Gold Coast, Australia.

“Laluan larian juga diubah atas sebab keselamatan dan keadaan lalu lintas. Atas nasihat polis dan Perbadanan Putrajaya, laluan bagi larian 15km diubah ke laluan baru yang lebih indah dan redup serta jauh dari kesesakan lalu lintas.

“Larian dibahagikan kepada dua kategori iaitu Larian Terbuka Lelaki dan Wanita sejauh 15km (pelepasan pada jam 7.00 pagi) dan Fun Run sejauh 5km (pelepasan jam 7.30 pagi),” katanya dalam satu kenyataan terbaharu hari ini.

Tambah beliau, pendaftaran peserta boleh dilaksanakan di pejabat Persatuan Olahraga Kuala Lumpur Wilayah Persekutuan (FTKLAA) di: Tingkat 2, Wisma OCM, Jalan Hang Jebat, 50150 Kuala Lumpur (Tel: 0327152843) atau menerusi atas talian/emel di [email protected] atau www.twentyfirstcenturysports.com

Ujarnya lagi, peserta yang berdaftar layak menerima pelbagai barangan termasuk baju, polisi insurans kemalangan peribadi sehari, beg cenderahati, pingat dan sijil.

Acara Larian Sukan SEA 2017, yang pertama seumpamanya dan dianjurkan bersempena acara marathon Sukan SEA ke-29 sejauh 42km, bertujuan menarik penyertaan masyarakat pelbagai lapisan dan peringkat untuk sama-sama memeriahkan
temasya Sukan SEA yang dijadualkan dari 19 hingga 30 Ogos.

Malaysia akan menjadi tuan rumah Sukan SEA 2017 buat kali keenam selepas kali terakhir menganjurkannya pada 2001.- MalaysiaGazette