Sabri Ahmad Tah, 47, didakwa memperdaya Datuk Alan Chuah Chin Lai, untuk mempercayai kononnya Chuah akan mendapatkan projek tanah seluas 108.4 hektar di Kampar, Perak dan projek kawasan pasir untuk dibekalkan kepada pembangunan bangunan kerajaan di bawah NAZA TTDI kepada DPMM Perak dan Semarak Sinergi Sdn Bhd.

IPOH – Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Perak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang ahli perniagaan bergelar Datuk sebanyak RM150,000 melibatkan projek tanah dan pasir di Perak, tiga tahun lalu.

Sabri Ahmad Tah, 47, didakwa memperdaya Datuk Alan Chuah Chin Lai, untuk mempercayai kononnya Chuah akan mendapatkan projek tanah seluas 108.4 hektar di Kampar, Perak dan projek kawasan pasir untuk dibekalkan kepada pembangunan bangunan kerajaan di bawah NAZA TTDI kepada DPMM Perak dan Semarak Sinergi Sdn Bhd.

Dia didakwa dengan curangnya mendorong Chuah menyerahkan wang tunai berjumlah RM150,000 melalui tiga cek yang ditunaikan Baharudin Ahmad kepada tertuduh.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank Berhad Cawangan Teluk Intan, 43-45, Medan Mahkota, Jalan Ah Cheong, Teluk Intan, antara jam 10 pagi hingga 2 petang, 25 Julai 2014.

Pertuduhan ke atas Sabri dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), , Nurul Wahida Jalaluddin manakala Sabri diwakili peguam Ranjit Singh Sandhu dan Olinda Nicholas.

Terdahulu, Nurul Wahida meminta mahkamah mengenakan wang jaminan sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Bagaimanapun, Ranjit memohon mahkamah untuk syarat tambahan menyerahkan pasport tidak dikenakan memandangkan tertuduh merupakan seorang ahli perniagaan dan Yang Dipertua DPMM Perak.

“Saya juga memohon mahkamah mengenakan wang jaminan dalam linkungan RM20,000 jika diizinkan,” katanya.

Hakim S. Indra Nehru membenarkan ikat jamin sebanyak RM50,000 dengan dua orang penjamin serta syarat tambahan untuk melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat dengan kediamannya sebulan sekali dan sekiranya gagal ikat jamin akan dibatalkan serta merta.

Mahkamah juga menetapkan 8 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

— BERNAMA