Sepupu waris mangsa pesawat MAS MH17, Anwar Zafran Zamzuri dan Nur Sabrina Irwan Zulkarnain menunjukkan baju T yang dilukis Allahyarham Muhammad Afif Tambi Jiee semasa sesi taklimat bersama Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai hari ini. Lukisan yang dilukis arwah semasa hayatnya kini dijadikan kenangan bagi memperingati tragedi tersebut dan dijual kepada orang ramai bagi membiayai pembinaan surau Al-Ghazali Kuching. --FotoBERNAMA

PUTRAJAYA – Lukisan karya Allahyarham Muhammad Afif Tambi, seorang daripada mangsa tragedi penerbangan Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine pada 2014, diabadikan pada kemeja-T untuk mengumpul dana bagi pembinaan sebuah surau di Kuching, Sarawak.

Sepupunya, Nur Sabrina Irwan Zulkarnain, 20, berkata beliau terjumpa dua hasil seni Allahyarham di rumah keluarga Allahyarham di Kuala Lumpur ketika membersihkan rumah berkenaan selepas tragedi itu.

Nur Sabrina berkata hasil jualan kemeja-T berkenaan akan disalurkan kepada pembinaan Surah Al-Ghazali di Petra Jaya, Kuching, Sarawak.

Pembinaan surau tersebut dengan anggaran kos RM3.5 juta merupakan ikhtiar waris dan keluarga ibu Muhammad Afif, Allahyarham Ariza Ghazalee, yang turut terkorban dalam tragedi MH17 itu.

“Allahyarham mempunyai bakat yang besar dalam bidang seni.Kedua-dua lukisan dipilih untuk dicetak pada kemeja-T untuk memperingati Muhammad Afif dan keluarga, serta anak kapal dan penumpang yang terkorban dalam nahas itu.

Bapa waris mangsa pesawat MAS MH17, Md Salim Sarmo menunjukkan gambar anaknya Allahyarham Mohd Ali Md Salim yang terkorban dalam nahas pesawat malang itu

“Kami memilih dua buah lukisan tersebut kerana ia seolah-olah mempunyai kaitan dengan MH17,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis peringatan ulang tahun tragedi MH17 kali ke-3 di sini hari ini.

MH17, yang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur membawa 298 orang termasuk kru, ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai 2014.

Selain Muhammad Afif, 19, tragedi itu turut meragut nyawa bapanya Tambi Jiee, dan ibunya Ariza dan adik-beradiknya Muhammad Afzal, 17, Marsha Azmeena, 15 dan Muhammad Afruz, 13.

Sebuah daripada lukisan Allahyarham yang ditunjukkan kepada pemberita memaparkan seorang budak lelaki melakukan terjunan bebas dengan latar belakang langit biru manakala sebuah lagi lukisan menggambarkan seorang yang berambut panjang melihat sayap sebuah pesawat.

Kemeja-T tersebut akan dijual secara dalam talian menerusi akaun Facebook Surau Al-Ghazali dengan harga RM65 (lengan pendek) dan RM75 (lengan panjang).

Sementara itu, Md Salim Samo, 68, pesara tentera yang datang dari Muar untuk menghadiri majlis peringatan itu, berkata keluarganya mahu tahu cerita sebenar dan pihak yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat MH17 di wilayah bergolak di timur Ukraine.

Beliau kehilangan anaknya, Mohd Ali Md Salim, 29, pelajar tahun akhir Ijazah Kedoktoran Development Neuropsychopathology di Erasmus University, Rotterdam, Belanda dalam nahas tiga tahun lalu itu.

“Saya mahu mereka yang terlibat (menembak jatuh pesawat) dihukum dan dihadapkan ke muka pengadilan.

“Kita serah kepada pihak penyiasat… kita tidak dapat berbuat apa-apa. Kami harap akan dapat jawapan dalam tempoh terdekat,”katanya.

Malaysia dan Pasukan Siasatan Bersama (JIT) terdiri daripada Belanda, Belgium, Ukraine dan Australia bersetuju supaya pendakwaan negara terhadap pihak yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat MH17 itu dilakukan di Belanda.

— BERNAMA