Dzulkifli Ahmad

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mendapat maklumat baharu bahawa Felda Investment Corporation (FIC) telah membeli hotel empat bintang di Kensington, London pada harga jauh lebih tinggi pada harga asal.

Pembelian itu mengakibatkan FIC mengalami kerugian jutaan ringgit.

Susulan itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad telah mengarahkan pasukan penyiasat untuk membuka kertas siasatan berhubung pembelian hotel tersebut.

Hotel berkenaan dibeli antara tahun 2013 dan 2015.

“Pasukan penyiasat juga telah mengambil dokumen-dokumen berkaitan pembelian hotel tersebut dan kini dalam proses menilai serta meneliti kesemua maklumat yang diperoleh.

Siasatan terperinci akan dijalankan bagi mengenal pasti sama ada wujudnya unsur rasuah dan salahguna kuasa dalam proses pembelian hotel tersebut,” kata SPRM dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada Disember 2014, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang menjadi pengerusi Felda ketika itu mengumumkan pembelian hotel empat bintang, Park City Hotel di Kensington bernilai 60 juta pound.

Hotel yang kemudian dijenamakan semula Grand Plaza mempunyai 62 bilik tetamu dan dua unit apartmen.

Grand Plaza itu adalah hotel kedua FIC selepas memiliki Grand Plaza Servis Apartment di Bayswater pada harga 98 juta pound.

Dalam kenyatana itu, SPRM berkata, pihaknya akan memanggil beberapa orang saksi penting dalam masa terdekat bagi tujuan merakam percakapan untuk mendapatkan maklumat serta bukti yang kukuh sebelum tindakan lanjut diambil. – MalaysiaGazette