Pusat Gaya Hidup MV Agusta di kawasan Perusahaan Amari, Pusat Industri Amari Batu Caves.

KUALA LUMPUR – Moto Varese Asiatic Holdings Sdn. Bhd., pengedar tunggal motosikal MV Agusta di Malaysia, akan memperkenalkan enam lagi model baharu sebelum akhir tahun ini.

Pengarah Urusan Moto Varese Asiatic, Mohamad Zamry Abu Samah berkata, sebagai permulaan sebanyak enam model telah pun memasuki pasaran tempatan sejak beberapa bulan lalu iaitu Brutale 800, Brutale 1090, Dragster 800RR, Touriso Veloce 800, Tourismo Veloce 800 Lusso RC dan F4RR.

Kesemua model tersebut dipasang di Malaysia dan merupakan model paling terkini berbanding model-model yang dijual sebelum ini.

“Kami menjangka membawa masuk enam lagi varian model di Malaysia untuk menjadikan 12 kesemuanya,” kata beliau pada majlis pembukaan Pusat Gaya Hidup MV Agusta Malaysia di sini.

Mohamad Zamry berkata, harga jualan bagi kesemua model tersebut bermula dari RM90,000.

Menurut beliau, MV Agusta telah melantik rakan pengedar iaitu KB Soon Huat Motor di Pulau Pinang sebagai pusat MV Agusta di utara.

Manakala beberapa pengedar telah dikenal pasti untuk mengembangkan pasaran MV Agusta di negara ini.

“Kita jangka akan ada dua atau tiga lagi akan dibuka sebelum hujung tahun ini,” ujar beliau. – MalaysiaGazette