Datuk Seri Liow Tiong Lai

KUALA LUMPUR – Pelancaran fasa kedua MRT yang pertama hari ini menandakan satu peristiwa penting dalam usaha berterusan kerajaan untuk meningkatkan rangkaian pengangkutan awam bandar terutamanya di Greater Kuala Lumpur.

Laluan Sungai Buloh – Kajang, yang merangkumi 51 kilometer (km) menyediakan akses yang lebih baik kepada penumpang di sepanjang laluan itu.

Dengan 31 stesen yang mana 7 adalah di bawah tanah, jajaran pertama MRT dijangka dapat menampung secara purata 150,000 penumpang sehari berbanding 15,000 penumpang semasa laluan Semantan – Kajang beroperasi sepenuhnya

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, laluan di bawah tanah sejauh 9.5 kilometer dengan TRC menjadi stesen paling dalam dengan 45 meter.

Sudah kini, fasa satu MRT dari Sungai Buloh ke Semantan mencatatkan sejumlah 2 juta penumpang sejak ia mula beroperasi pada Disember tahun lepas.

“Dengan pembukaan laluan Semantan – Kajang hari ini, saya yakin bilangan penumpang akan meningkat, selaras dengan usaha berterusan kementerian untuk mengurangkan kesesakan di jalan raya.

“Kita menjangkakan sekurang-kurangnya 160,000 kenderaan di jalan raya dapat dikurangkan setiap hari dengan operasi penuh jajaran MRT ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut beliau, setiap set kereta api yang berkhidmat di laluan Sungai Buloh – Kajang akan mempunyai empat buah gerabak bagi membolehkan ia membawa kapasiti sebanyak 1,200 penumpang setiap perjalanan dengan penumpang harian dianggarkan sebanyak 400,000 orang dengan kekerapan 3.5 minit.

Tiong Lai menambah, projek ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan negara untuk meningkatkan penggunaan pengangkutan awam selain inisiatif perkhidmatan bas percuma GO KL, Sunway Bus Rapid Transit (BRT), Projek Tambahan LRT dan LRT3 pada masa depan serta jajaran kedua MRT.

“Projek-projek ini telah meningkatkan penguasaan pengangkutan awam bandar dari 10% pada tahun 2009 menjadi 20% pada tahun 2015 dan pada landasan yang betul untuk mencapai sasaran 40% pada tahun 2030.

“Jajaran pengangkutan ini memastikan integrasi mantap perkhidmatan pengangkutan awam sedia ada dan masa hadapan seperti LRT, LRT3, MRT2 dan KTM.

“Rangkaian pengangkutan awam darat bersepadu yang dibina oleh kerajaan ini menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang selamat dan lancar kepada rakyat. ujarnya. – MalaysiaGazette