Home Dunia Berang telefon dirampas, askar tembak pegawai

Berang telefon dirampas, askar tembak pegawai

KASHMIR – Gara-gara marah kerana telefon bimbit dirampas, seorang askar telah menembak mati pegawainya lewat malam Isnin lalu.

Mejar Shikhar Thapa dari Rejimen Tentera 71, mati serta-merta ditempat kejadian.

Mangsa ditembak selepas meminta Naik Kathiresan mematikan telefon bimbitnya dan kemudian merampasnya.

Thapa memberitahu Kathiresan tindakannya membawa telefon bimbit akan dimaklumkan kepada komandan.

Tentera di Kashmir dilarang membawa telefon bimbit semasa bertugas kerana cahaya pada alat peranti itu boleh menjejaskan keselamatan tentera.

Telefon itu rosak ketika ia dirampas menyebabkan berlaku pertengkaran, mendorong Kathiresan menembak mati pegawai itu dengan senapang AK-47.

“Pegawai itu ditembak dari belakang,” menurut sumber.

Thapa, yang ditugaskan ke tentera pada bulan Disember 2011, meninggalkan isterinya Suvidha dan anak lelaki berusia tiga bulan.

Pihak tentera tidak menjelaskan punca kejadian itu. Sebaliknya, pegawai tentera memaklumkan kejadian itu sedang disiasat.

Ini kerana kes itu berkaitan dengan moral tentera. – MalaysiaGazette