Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani hadir mempengerusikan Mesyuarat Focus Group Budget 2018 : Boosting Private Investment di Kompleks Kementerian Kewangan, Putrajaya. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 20 JULAI 2017

PUTRAJAYA – Kerajaan merancang untuk memperkenalkan insentif cukai kepada industri-industri sasar sahaja dalam Bajet 2018.

Mengulas lanjut, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pemberian insentif cukai pada kali ini tidak lagi secara menyeluruh, sebaliknya memfokus kepada kumpulan sasar seperti industri yang menggunakan robot, automasi dan data besar.

Ini katanya bagi menggalakkan lebih banyak perniagaan yang menggunakan robot dan automasi sekali gus mengurangkan pergantungan terhadap tenaga buruh.

“Kita semua tahu ekonomi Malaysia dipacu oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan ketika ini mereka menghadapi masalah untuk mendapatkan pekerja.

“Jadi menerusi insentif-insentif ini, kita secara tidak langsung menggalakkan PKS untuk menggunakan automasi atau robot,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Kumpulan Fokus Bajet 2018: Merangsang Pelaburan Swasta di sini hari ini.

Bagaimanapun jelas Johari, pemberian insentif itu tidak melibatkan sebarang pengurangan cukai.

“Pemberian insentif bukan bermakna kita memberi potongan cukai, sebaliknya sekarang kerajaan sudah tidak mahu memberi insentif cukai secara menyeluruh kepada semua industri.

“Kini kita hanya memberi tumpuan kepada industri sasar bagi mempromosikan penggunaan robot dan automasi seupaya lebih ramai usahawan melabur di dalam bidang robotik dan automasi,” katanya lagi.

Mesyuarat ini merupakan mesyuarat kumpulan fokus pertama bagi Bajet 2018 dan membincangkan pelbagai perkara yang boleh dijadikan agenda semasa merangka bajet tahunan tersebut.

Antara perkara yang dibangkitkan adalah cara untuk mengurangkan kos melakukan perniagaan, meningkatkan sistem penyampaian awam, merangsang produktiviti ddan inovasi serta melangkah ke arah aktiviti-aktiviti tambah nilai yang lebih tinggi.- MalaysiaGazette