Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani merangkap Ahli Parlimen Titiwangsa di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri peringkat Titiwangsa di Dewan Komuniti UMNO Taman Maluri, Cheras, Kuala Lumpur pada 23 Julai 2017 hari ini.

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedia mempertimbangkan cadangan memperbanyakan pembinaan rumah mampu milik untuk penjawat awam.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ia merupakan cadangan yang baik bagi memastikan semua penjawat awam memiliki kediaman.

“Saya setuju dengan cadangan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepecs) memperbanyakkan rumah mampu milik untuk penjawat awam sekitar harga RM150,000 hingga RM200,000.

“Kita kena lihat dari segi permintaan, lokasi kerana kalau lokasi tak sesuai nanti mereka tidak mahu menetap di sana, ini semua kita kena bincang.

“Kemungkinan besar Cuepecs boleh buat kajian kepada ahli-ahli (penjawat awam), rumah yang mereka perlukan, dekat lokasi mana, dalam peringkat macam mana dan sebagainya.

“Kalau boleh dapatkan maklumat ini, kita boleh salurkan kepada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk mereka membuat perancangan,” katanya di ibu negara pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri kawasan Parlimen Titiwangsa di Dewan Komuniti UMNO, Taman Maluri di sini.

Johari yang juga ahli Parlimen Titiwangsa berkata, beliau menggalakkan budaya sewa rumah dalam kalangan penjawat awam pada peringkat awal perkhidmatan mereka.

Kata beliau, tidak semestinya selepas mula bekerja mereka mesti miliki rumah sendiri.

Jelas Johari, pemilikan kediaman boleh dilakukan apabila simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencukupi untuk digunakan sebagai wang pendahuluan pembelian rumah.

“Tak semestinya kalau dah mula kerja terikat dengan tanggungjawab rumah selama 35 tahun, selepas 15 hingga 20 tahun mereka boleh beli rumah dengan formula KWSP dengan wang yang mencukupi.” katanya. – MalaysiaGazette