Setiausaha Agung Gerakan, Datuk Liang Teck Meng (dua dari kiri) ditemani peguam, Datuk Baljit Singh (dua dari kanan) ketika memfailkan saman terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pagi ini atas dakwaan memfitnah parti itu berhubung penjualan tanah di Sri Tanjung Pinang.

PULAU PINANG – Parti Gerakan hari ini memfailkan saman fitnah terhadap Ketua Menteri, Lim Guan Eng kerana memfitnah parti itu dan bekas Presidennya, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon berhubung dakwaan penjualan tanah di Tanjung Tokong (Sri Tanjung Pinang) di sini.

Saman fitnah itu difailkan Setiausaha Agung Gerakan, Datuk Liang Teck Meng di Mahkamah Tinggi di sini pagi ini menerusi Tetuan Baljit Singh.

Dalam pernyataan tuntutannya, Teck Meng mendakwa, Guan Eng membuat kenyataan fitnah berhubung penjualan tanah Sri Tanjung Pinang yang didakwa dijual kepada pemaju pada harga RM1 kaki persegi membabitkan nilai RM42.7 juta semasa pentadbiran Tsu Koon sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.

Ketika ditemui pemberita selepas memfailkan saman itu, Teck Meng berkata, tindakan tersebut diambil selepas Guan Eng berulang kali membuat kenyataan tidak tepat berhubung penjualan tanah tersebut seperti disiarkan pelbagai platform media.

Sedangkan, kata beliau, Gerakan sudah berulang kali membuat penjelasan berhubung penjualan tanah Sri Tanjung Pinang itu kepada rakyat yang mana pihaknya tidak pernah menjual tanah tersebut dengan harga RM1 kaki persegi seperti didakwa Guan Eng.

“Tetapi Guan Eng berterusan mengulangi kenyataan yang sama dan ini merupakan satu fitnah sekali gus memaksa kita mengambil tindakan undang-undang ini,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengapa beliau yang memfailkan saman itu dan bukannya Tsu Koon, Teck Meng berkata, beliau mengambil tanggungjawab mengambil tindakan tersebut memandangkan fitnah Guan Eng berkenaan ditujukan kepada Gerakan, bukannya terhadap individu.

Bagaimanapun, peguam Datuk Baljit Singh yang turut hadir memaklumkan, Tsu Koon yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang akan dipanggil sebagai saksi.

Pada 11 Julai lalu, Teck Meng turut menyerahkan notis tuntutan kepada Guan Eng bagi mendesak Setiausaha Agung DAP itu meminta maaf secara rasmi dan tanpa syarat kepada Gerakan berhubung isu tersebut dalam tempoh 72 jam.

Menjelaskan lebih lanjut, kata beliau, Gerakan tidak menjual tanah Sri Tanjung Pinang seperti didakwa Guan Eng sebaliknya ia merupakan perjanjian konsensi penambakan tanah yang diberikan pada 1992.

Tambahnya, perjanjian itu melibatkan dua komponen penting iaitu hak menambak tanah dan pegangan syer dalam penambakan tanah.

Menerusi perjanjian itu, ujar beliau, sebanyak 37 peratus adalah syer milik kerajaan negeri Pulau Pinang dan pada fasa pertama sejumlah 97 hektar telah ditambak dengan 19 hektar diserahkan semula kepada kerajaan negeri Pulau Pinang. – MalaysiaGazette