Presiden Pertubuhan Inspirasi Melayu Gombak, Datuk Zul Azhari Mohamed Juah dan ahli-ahli Pertubuhan Inspirasi Melayu Gombak menunjukkan dokumen dan kenyataan isu Zuraidah Kamaruddin menjadi orang tengah menyelesaikan hutang sebuah syarikat dengan Yayasan Selangor di Penjabat Inspirasi Melayu, Sunway Batu Caves, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 25 JULAI 2017.

GOMBAK – Premis milik kenalan Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin yang dituduh menjadi orang tengah untuk melupuskan hutang sebuah syarikat berjumlah RM233,000 kepada Yayasan Selangor sebenarnya digunakan sebagai Ibu Pejabat PKR Selangor, dakwa Pertubuhan Inspirasi Melayu Gombak (IMPAK).

IMPAK sebelum ini mendakwa Zuraida dan bekas ADUN Kajang, Lee Chin Cheh menjadi perantara bagi sebuah syarikat swasta, Tremendous Progress Sdn. Bhd. untuk menyelesaikan hutang ratusan ribu ringgit dengan Yayasan Selangor.

Tremendous Progress merupakan syarikat milik Timbalan Ketua Cabang PKR Ampang, Abdul Latiff Shaari.

“Terbaharu hasil siasatan IMPAK telah menemukan satu fakta yang lebih mengejutkan.

“Premis tersebut disewa sebagai Ibu Pejabat PKR ( Selangor) yang mana ketika itu diketuai Azmin (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali),” kata Pengerusi IMPAK, Datuk Zul Azhari Mohamed Juah pada sidang media di pejabatnya di Batu Caves, Gombak hari ini.

Beliau kemudiaan juga mempersoalkan mengapa Tremendous Progress memberikan premis yang disewakannya untuk kegunaan PKR.

“Jelas disini, seorang kontraktor menyewa sebuah premis kemudiaan diberikan kepada PKR Selangor untuk digunakan sebagai pejabat parti.

“Mengapa syarikat tersebut menyewa bagi pihak PKR Selangor? Mengapa PKR Selangor secara terus menyewa premis tersebut daripada Yayasan Selangor? Apakah bentuk habuan yang diterima oleh syarikat yang sudi memberikan premis sewaan miliknya kepada pihak lain? Ada sesuatu yang misteri disitu,” katanya.

Zul Azhari turut membidas tindakan Zuraida yang menggunakan kedudukannya selaku Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Selangor untuk berunding dengan Yayasan Selangor bagi melupuskan hutang Abdul Latiff yang memegang jawatan dalam parti di kawasan parlimennya.

“Ini jelas menunjukkan berlaku salah guna kuasa (penyelewengan) oleh Zuraida.

“Beliau didapati menggunakan kedudukannya sebagai Timbalan Pengerusi Perhubungan untuk berunding menyelesaikan masalah hutang kenalan rapatnya.

“Persoalannya apakah kepentingan Zuraida dalam syarikat tersebut dan apakah bentuk habuan yang dijanjikan kepada beliau,” ujarnya lagi.

Zul Azhari sebelum ini berkata, beliau menerima surat layang mendakwa syarikat itu berhutang dengan Yayasan Selangor sebanyak RM233,000 selepas menyewa empat premis di sebuah bangunan sekitar Selangor.

Beliau juga sudah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor. – MalaysiaGazette