SHAH ALAM – Kerajaan Selangor tidak setuju dengan pelaksanaan Cukai Pelancongan yang berkuatkuasa 1 Julai lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar negeri, Elizabeth Wong Keat Ping berkata, beliau tidak bersetuju kerana ia memberi kesan kepada ekonomi negeri dan dilaksanakan pada waktu tidak sesuai ketika inflasi berada pada paras tinggi.
Katanya, pelaksanaan Cukai Pelancongan juga turut menjejaskan pendapatan rakyat dan pengiat industri pelancong kerana terpaksa menanggung kos yang tinggi.
“Saya cadangkan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan membuat kajian lebih terperinci mengenai pelaksanaan itu kerana ia memberi kesan buruk kepada industri pelancongan, bukan sahaja di Selangor, malah di negeri lain.
“Pelaksanaan Cukai Pelancongan ini menyaksikan kenaikan kos lawatan untuk melancong, kos penginapan yang meningkat dan pakej lawatan serta pengangkutan yang tinggi. Ini menjejaskan pelancong yang membuat tempahan awal bilik hotel,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan pada Mesyuarat Kedua Persidangan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Selangor Ketiga Belas Tahun 2017 di sini, hari ini.
Jun lalu, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menyangkal dakwaan pelaksanaan Cukai Pelancongan ditangguh, bahkan dikuatkuasakan bermula 1 Julai lalu.
Pelaksanaan itu menyaksikan kadar penginapan satu malam dikenakan cukai antara RM2.50 dan RM20 mengikut kategori bintang hotel.
Menurut Elizabeth, kerajaan negeri menerusi portfolio beliau banyak menerima aduan dari penggiat hotel bertaraf satu hingga lima bintang yang mendakwa terjejas teruk dari segi langganan.
“Pelancong, sama ada asing mahupun tempatan merungut mereka terpaksa membayar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan Cukai Pelancongan sehingga harga bilik hotel menjadi mahal.
“Lebih berkesan ialah penggiat industri hotel bertaraf empat dan lima bintang kerana mereka hanya bergantung sumber pendapatan dari pelancongan asing, selain pelancong tempatan.
“Kita tidak dapat berbuat apa-apa kerana akta ini diluluskan di peringkat kerajaan Persekutuan,” katanya.
Beliau menyarankan, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menyalurkan semula kutipan Cukai Pelancongan kepada negeri berkenaan supaya negeri berkenaan dapat memastikan industri pelancongan tidak gulung tikar. – MalaysiaGazette
















