Allahyarham Syed Aiman Zain

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu Allahyarham Datuk Syed Alman Zain Syed Alwi, menantu timbalan perdana menteri, diberikan lebih lapan suntikan bius sepanjang proses pembedahan kecil untuk mengeluarkan gigi bongsu di Pusat Pakar Pergigian Imperial di sini, pada Jun tahun lepas.

Pembantu Jururawat Kristine G.Flores, 29, berkata Syed Alman Zain menerima lima suntikan bius sebelum pembedahan bermula dan lebih daripada tiga suntikan semasa menerima bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR).

“Pesakit menerima semua suntikan itu daripada Doktor Ting,” katanya yang turut mengenal pasti doktor perbidanan dan sakit puan (O&G) Dr Ting Teck Chin yang berada di kandang tertuduh yang didakwa menyebabkan kematian Syed Alman Zain.

Kristine dari Filipina dan mempunyai Ijazah Sains dan Kejururawatan daripada sebuah universiti di Filipina, yang merupakan saksi pendakwaan ke-15 berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Shukor Abu Bakar dalam perbicaraan kes berkenaan.

Saksi itu turut memberitahu mahkamah bahawa bantuan CPR diberikan selepas doktor yang menjalankan pembedahan mendapati mangsa berhenti berdengkur di pertengahan rawatan.

“Pesakit berdengkur sepanjang proses pembedahan berlangsung dan dengkurannya kuat,” katanya sambil menambah Dr Ting turut memeriksa denyutan jantung mangsa sebelum memberikan CPR.

Pada 12 Ogos tahun lalu, Dr Ting, 36, yang memberi perkhidmatan bius secara sambilan di Pusat Pakar Pergigian Imperial, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebabkan kematian Syed Alman Zain, 44, dengan mengetahui bahawa perbuatannya itu mungkin menyebabkan kematian mangsa.

Dr Ting, yang bertugas di Jabatan O&G Hospital Kuala Lumpur, didakwa melakukan kesalahan itu di Pusat Pakar Pergigian Imperial, Lot 62 & 64, Jalan Telawi, Bangsar Baru, Brickfields, di sini, antara 6 petang dan 9.05 malam, 1 Jun 2016.

Dr Ting yang diwakili peguam Datuk K.Kumaraendran didakwa mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Syed Alman Zain, suami kepada anak sulung Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi , Datuk Nurulhidayah, 38, dilaporkan tidak sedarkan diri ketika menjalani rawatan di pusat pakar pergigian itu dan dirujuk ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebelum disahkan meninggal dunia.

Perbicaraan di hadapan Hakim Zaman Mohd Noor bersambung pada 1 Nov.

— BERNAMA