Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menunjukkan buku peraturan mesyuarat pada sidang media di Parlimen Malaysia. foto SAFWAN MANSOR, 27 JULAI 2017

KUALA LUMPUR – Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menafikan dakwaan pembangkang yang mengatakan semua soalan berkaitan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ditolak pada sesi kali ini dan menyifatkan tuduhan tersebut tidak berasas sama sekali.

Pandikar sebaliknya berkata, kira-kira sebanyak 19 soalan berkaitan 1MDB berada dalam kertas urusan aturan mesyuarat pada sesi kali ini, sekali gus menyangkal tuduhan oleh pembangkang sebelum ini.

“Bukan semua soalan berkaitan 1MDB itu ditolak, masih ada soalan 1MDB yang ada dalam aturan mesyuarat.

“Jadi tidak betul dakwaan pembangkang mengatakan semua soalan ditolak. Ada sekitar 19 soalan berkaitan 1MDB dibenarkan masuk dalam sesi kali ini,” kata Pandikar semasa sidang media di Parlimen hari ini.

Menurut Pandikar, lebih 1,000 soalan diterima pihaknya pada sidang kali ini dan semua melalui proses penapisan sebelum dimasukkan dalam kertas aturan mesyuarat.

Jelas beliau, kebanyakan soalan yang dikemukakan ditolak kerana ini melanggar Peraturan Mesyuarat 23 (c) kerana mengandungi banyak unsur tuduhan dan direka-reka.

“Banyak soalan yang direka-reka cerita, perkara berbangkit, berbentuk tohmahan dan tuduhan, maka Speaker tidak ambil sebab melanggar Peraturan 23 (c),” katanya.

Peraturan Mesyuarat tersebut menyatakan sesuatu pertanyaan itu tidak boleh mengandungi apa-apa hujah, sangkaan, fikiran, tohmahan, puji atau keji atau mengandungi kalimah menyakitkan hati ataupun mengenai apa-apa perkara dangkal atau meminta penerangan mengenai perkara remeh.

Terdahulu, ahli Parlimen pembangkang mendakwa Sepaker Dewan Rakyat sengaja menolak lebih kurang 30 soalan mereka berkaitan skandal 1MDB daripada dibahaskan di Parlimen.

Pandikar juga membidas pembangkang yang mempolemikkan isu berkaitan soalan 1MDB sehingga menjejaskan imej beliau selaku Speaker Dewan Rakyat.

“Kalau nak politikkan isu ini buat di luar, janga libat dewan dan saya dalam isu ini,” katanya. – MalaysiaGazette