Petronas

KUALA LUMPUR – Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) menyifatkan kerjasama terbaharunya dengan syarikat minyak dan gas Thailand, PTT Public Company Ltd. bakal menjadi pemangkin pertumbuhan syarikat tersebut dalam pasaran gas Thai.

Syarikat petroleum negara itu hari ini mengumumkan pemeteraian perjanjian dengan PTTGL Investment Ltd. (PTTGLI), sebuah anak syarikat PTT Global LNG Company Ltd. (PTTGL).

PTTGLI mengambil alih 10 peratus kepentingan dalam Petronas LNG 9 Sdn. Bhd. (PL9SB).

Ia merupakan anak syarikat Petronas yang memiliki tren mencairkan LNG (Train 9) di Kompleks LNG Petronas di Bintulu, Sarawak.

Mengesahkan pelaburan tersebut hari ini, Petronas dalam kenyataannya berkata, dengan penyertaan PTTGLI, Petronas kini memiliki 80 peratus PL9SB manakala baki 10 peratus lagi dimiliki oleh JXTG Nippon Oil & Energy Corporation menerusi anak syarikatnya Nippon Oil Finance (Netherlands) B.V.

Naib Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Huluan, Datuk Mohd. Anuar Taib berkata, kerjasama strategik itu menunjukkan komitmen berterusan Petronas untuk membangunkan perniagaan LNG-nya dan membuka laluan kepada kedua-dua pihak untuk mengukuh dan memaksimakan rangkaian nilai bersepadu minyak dan gas.-MalaysiaGazette