Kedai Rakyat 1 Malaysia antara kemudahan yang terdapat di UTC Keramat, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 21 MEI 2017.
KUALA LANGAT – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menamatkan segera kontrak syarikat mengendalikan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) yang menjual produk jauh lebih tinggi daripada harga pasaran.

Ahmad Zahid berkata perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana kerajaan memberikan peruntukan kepada syarikat berkenaan untuk memastikan produk yang dijual lebih murah.

“Harga mahal sedangkan kerajaan memberikan peruntukan kepada syarikat (mengendalikan KR1M) untuk menjual (produk) di bawah harga pasaran.

“Justeru, saya arahkan Menteri PDNKK Datuk Seri Hamzah Zainudin putuskan kontrak syarikat mengendalikan perjalanan KR1M berkenaan, tukar syarikat lain supaya harga benar-benar berada di bawah harga pasaran demi kepentingan rakyat,”katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Kuala Langat di Pulau Carey di sini.

Ahmad Zahid berkata pihaknya menerima aduan ada sebuah syarikat yang diberi peluang mengendalikan KR1M menjual produk lebih mahal daripada harga pasaran.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menyifatkan peranan ‘orang tengah’ turut menyumbang kepada kenaikan harga barang makanan di negara ini.

Katanya tindakan orang tengah itu tidak bertanggungjawab dan hanya bertujuan mendapatkan keuntungan lebih sehingga membebankan pengguna.

Menyentuh hal berkenaan, Timbalan Perdana Menteri mengarahkan KPDNKK dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menangani isu orang tengah yang mengambil keuntungan berlebihan khususnya bahan makanan seperti ikan.

Ikan kembung kenapa sampai naik RM28 (sekilogram)? Saya tanya nelayan berapa harga ikan kembung apabila didaratkan… baru RM8. Kenapa sampai kepada kita RM28 (sekilogram), mungkin di Banting RM14, KL (Kuala Lumpur) RM18, kenapa di tempat lain RM28. Kenapa ada perbezaan RM20?”,katanya.

Merumuskan mungkin ada kelemahan dalam sistem perniagaan dan kemungkinan juga orang tengah mengambil keuntungan berlipat ganda, Ahmad Zahid berkata perkara berkenaan harus didedahkan dan diatasi.

— BERNAMA



1 Komen

  1. dah kena sabotaj lah tu. bagi bantuan pun tak cukup nak tampong .itu lah kena sabotaj tu. . biar eco 2 ringgit lagi bagus .

Comments are closed.