KUALA LUMPUR – Jumlah bersih ekuiti tempatan oleh pelabur asing meningkat kepada RM309.4 juta bersih, empat kali lebih tinggi daripada minggu sebelumnya.

MIDF Amanah Investment Bank Bhd dalam laporan mingguannya berkata, pelabur asing telah menjadi pembeli bersih selama enam hari berturut-turut, paling lama sejak 20 April hingga16 Mei lalu.

“Kemuncak belian asing pada hari Isnin dengan jumlah RM125.3 juta yang menyaksikan KLCI ditutup pada paras 1,760 mata untuk pertama kalinya dalam tempoh dua minggu,” kata MIDF Research.

Firma penyelidikan itu menambah, dengan satu lagi hari dagangan, bulan Julai mengekalkan trend untuk bulan ketujuh berturut-turut bagi belian asing.

Sehingga 28 Julai, aliran masuk kumulatif asing mencecah RM485.3 juta lebih tinggi daripada angka yang direkodkan pada bulan Jun.

MIDF Research berkata, kadar penyertaan asing cukup baik.

Nilai dagangan purata asing (ADTV) naik 11 peratus daripada RM739 juta pada minggu lalu kepada RM818 juta, berlegar di bawah paras RM1 bilion untuk minggu keempat.

Katanya, penyertaan runcit masih lemah dengan ADTV runcit menurun sebanyak 17 peratus, turun di bawah RM700 juta kepada RM648.5 juta. – MalaysiaGazette