Home Dunia Rusia usir 755 diplomat AS

Rusia usir 755 diplomat AS

MOSCOW – Presiden Rusia, Vladimir Putin mengarahkan 755 kakitangan diplomat Amerika Syarikat meninggalkan negara itu.

Ia adalah tindak balas terhadap sekatan baharu Amerika Syarikat terhadap Moscow.

Keputusan untuk mengusir kakitangan dibuat pada hari Jumaat, tetapi Putin kini mengesahkan tindakan itu berkuatkuasa pada pada 1 September.

Rusia sebelum ini mahu Amerika Syarikat mengurangkan kakitangan diplomatiknya kepada 455 orang, bilangan yang sama dimiliki oleh Rusia di negara berkenaan.

Jumlah yang diumumkan oleh Moscow itu adalah pengusiran terbesar diplomat dari mana-mana negara dalam sejarah moden, kata BBC.

Jumlah itu termasuk pekerja Russia daripada misi diplomatik Amerika Syarikat di seluruh Rusia membabitkan kakitangan di kedutaan di Moscow serta konsulat di Ekaterinburg, Vladivostok dan St Petersburg.

Putin mengatakan tidak berhasrat mahu mengenakan lebih banyak tindakan tetapi tidak dapat melihat perubahan dalam perhubungan ‘dalam waktu dekat’.

Putin memberitahu televisyen Rusia: “Lebih daripada 1,000 orang bekerja dan masih bekerja” di Kedutaan Amerika Syarikat dan konsulat dan “755 orang mesti menghentikan kegiatan mereka di Rusia.”

Rusia juga mengatakan akan menarik balik harta percutian dan gudang yang digunakan oleh diplomat Amerika Syarikat.

Putin menambah beliau boleh mempertimbangkan lebih banyak tindakan, tetapi berkata: “Saya melakukan setakat itu sehingga hari ini.” – MalaysiaGazette