Johari Abdul Ghani

KUALA LUMPUR – Menguruskan sebuah negara tidak sama seperti menguruskan sebuah syarikat.

Menurut Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, bagi sesebuah negara, pelaburan di dalam infrastruktur yang bakal menjadi penentu sama ada kita mampu menarik pelabur ke dalam negara atau tidak sedangkan dalam menguruskan perniagaan, profil pelabur sudah dikenalpasti terlebih dahulu.

“Memang jauh berbeza di antara menguruskan syarikat dan sebuah negara.

“Kita lihat bagaimana sewaktu Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) hendak dibina, kebanyakan orang mempertikaikan kewajaran pembinaan sebuah lapangan terbang baharu tetapi selepas lebih 20 tahun tidakkah kita nampak apa yang KLIA bawa kepada ekonomi Malaysia?

“Kita tidak akan mampu menerima lebih 20 juta pelancong setiap tahun tanpa KLIA dan sekarang ianya sudah beroperasi melebihi kapasiti sehingga kita terpaksa meluaskannya kepada klia2.

“Ini adalah contoh pelaburan dalam menguruskan negara.

“Semasa hendak buat KLIA kita sendiri tidak tahu siapa yang akan menggunakannya tetapi kita yakin pelaburan tersebut akan menghasilkan pulangan yang lumayan.

“Ini yang kita lakukan semasa pentadbiran yang lepas,” katanya sambil menambah langkah kerajaan ketika ini untuk memperkenalkan MRT bakal membuahkan hasil yang positif kepada ekonomi negara sama seperti projek-projek infrastruktur terdahulu.

Bercakap dalam majlis makan tengahari bertajuk Ekonomi Malaysia: Cabaran dan Masa Hadapan anjuran Institut Akhbar Malaysia (IAM) di sini hari ini, Johari berkata, pelaburan yang dilakukan untuk membina MRT sejauh 31 kilometer dengan 31 stesen itu sudah menampakkan kesan positif dalam masa yang singkat dan pastinya ia mampu membawa pulangan yang lebih besar dalam jangka masa panjang.

“Jualan sate Kajang juga meningkat kerana stesen MRT berada berhampiran di kawasan tersebut.

“Harga-harga tanah dan rumah juga meningkat selain ianya turut membantu memudahkan urusan orang ramai yang tidak lagi perlu memandu untuk ke destinasi-destinasi tertentu terutamanya di dalam bandar.

“Teksi-teksi juga boleh beroperasi secara lokaliti tanpa perlu mencari pelanggan terlalu jauh kerana orang ramai menggunakan perkhidmatan mereka untuk berulang-alik daripada satu tempat ke stesen MRT.

“Walaupun satu perjalanan cuma RM2 atau RM3 tetapi berapa banyak perjalanan yang boleh dibuat dalam masa sejam dan mereka sudah pasti mendapat pelanggan berbanding dahulu terpaksa memandu berpuluh-puluh kilometer tetapi tiada pelanggan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Comments are closed.