Shahidan Kassim

KUALA LUMPUR – “Kerajaan tidak memberikan sebarang keistimewaan kepada anak pelarian etnik Rohingya walaupun mereka dilahirkan di negara ini,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Beliau berkata, kumpulan ini terdiri ​​​​​daripada pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa  Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) bagaimanapun bebas bergerak di Semenanjung Malaysia, termasuk  bebas mengamalkan budaya dan kepercayaan agama, mendapat potongan harga caj di hospital kerajaan sebanyak 50 peratus berbanding warga negara asing yang lain dan mempunyai akses kepada pendidikan swasta.

Namun, katanya, sekiranya pemegang kad UNHCR itu melakukan aktiviti yang melanggar perundangan negara, maka tindakan sewajarnya berdasarkan undang-undang berkaitan akan diambil.

 “Kerajaan tidak mengiktiraf status ‘pelarian’ etnik Rohingya ini memandangkan Malaysia bukan negara ahli kepada Konvensyen Mengenai Status Pelarian 1951 dan Protokol  Status Pelarian 1967.

Namun demikian, atas dasar kemanusiaan, kerajaan membenarkan pemegang kad UNHCR termasuk etnik Rohingya yang mempunyai kad UNHCR yang sah untuk tinggal sementara sehingga dihantar pulang ke negara asal atau ditempatkan di negara ketiga,” katanya menjawab soalan Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh) berhubung pendirian kerajaan mengenai pelarian itu dan keistimewaan sebagai anak pelarian yang lahir di negara ini pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Shahidan berkata mulai 1 Mac tahun ini, kerajaan telah melaksanakan Projek Perintis Kebenaran Bekerja terhadap warga Rohingya yang memiliki kad UNHCR untuk bekerja dalam sektor perkilangan dan perladangan bagi tempoh tiga tahun. – MalaysiaGazette