Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar bercakap pada sediang media selepas selesai ‘Table Top Exercise’ Sukan SEA di Maktab Polis Diraja Malaysia, Cheras, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 03 OGOS 2017.

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar sedia menunggu cabaran tindakan mahkamah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung isu melibatkan ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Besar Selangor semalam menyerahkan notis kepada Khalid menuntut penangkapan dan ekstradisi ahli perniagaan kontroversi, Jho Low atas kesalahan pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Khalid berkata, siasatan ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) masih sedang berjalan dan enggan mengulas lanjut isu tersebut dan sekiranya Azmin mahu mengambil tindakan beliau sedia berdepan dengan sebarang tindakan mahkamah.

“Siasatan kes 1MDB ini masih berjalan jadi saya tidak mahu respon kepada perkara ini.

“Azmin mahu ambil tindakan, saya tunggu dan ambillah tindakan mahkamah,” kata Khalid semasa sidang media hari ini di Maktab PDRM selepas menyaksikan latihan Ex-Rimau 2017 sempena Sukan SEA pada September depan.

Mohamed Azmin membuat tuntutan itu menerusi notis tuntutan yang dihantar oleh peguamnya, Latheefa Koya mendesak Khalid supaya menjalankan tugasnya menangkap Low, yang juga dikenali Jho Low, atas kesalahan di bawah Seksyen 120B, 406 dan 409 Kanun Keseksaan, di samping Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan, Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Terdahulu pada majlis sama, Khalid bersama-sama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyaksikan latihan terakhir oleh pasukan keselamatan yang dianggotai oleh Komando VAT 69.

Khalid berpuas hati dengan persiapan yang dilakukan oleh pasukan keselamatan dan memberi jaminan Sukan SEA dapat berlangsung dengan selamat tanpa ancaman pengganas.

“Kami sudah bersiap sedia sepenuhnya dan yakin akan memastikan kelancaran sepanjang Sukan SEA.

“Saya berpuas hati dengan persiapan dan kami sudah bersedia menghadapi sebarang ancaman,” ujarnya lagi.

Latihan terakhir menyaksikan Komando VAT 69 mengadakan simulasi menyelamatkan tebusan dalam sebuah bas yang disertai oleh unit payung terjun. – MalaysiaGazette