Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa (dua kiri) bersama Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Irwan Seregar Abdullah (kiri) membaca Buku Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2016 siri 1 pada sesi soal jawab, Sesi Bersama Media: Laporan Ketua Audit Negara di Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 03 OGOS 2017.

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan pemberian kontrak kepada sebuah syarikat feri yang menghantar pulang pendatang asing adalah mengikut prosedur.

Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata, tidak ada salah laku atau penyelewengan semasa pemberian kontrak tersebut.

Syarikat berkenaan menjadi perhatian apabila Laporan Audit Negara 2016 Siri 1 menunjukkan kontraknya telah dilanjutkan sebanyak empat kali meskipun gagal menunaikan tanggung jawabnya.

“Tiada hanky-panky dalam pemberian kontrak tersebut kerana kami mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kewangan untuk melantik atau memperbaharui kontrak,” katanya semasa sesi bersama media susulan penerbitan LKAN 2016 Siri 1 di sini hari ini.

Bagaimanapun Alwi berjanji, tindakan akan diambil sekiranya kontraktor terbabit gagal melaksanakan tugasnya.

Tambahnya, kementerian juga sedang mempertimbangkan untuk melaksanakan proses tender terbuka pada masa hadapan.-MalaysiaGazette