Home Ekonomi Bursa dijangka tinggi minggu depan

Bursa dijangka tinggi minggu depan

Nazri Khan

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia diunjur tinggi minggu depan dengan indeks utama, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI), bersedia untuk menguji paras halangan 1,780 seiring dengan pemulihan harga komoditi dan kesan daripada data ekonomi yang bertambah baik, kata seorang penganalisis.

Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata, lebihan dagangan yang lebih tinggi dicatatkan pada Jun 2017 akan menyediakan rangsangan kepada pasaran, bersama-sama Dow Jones Industrial Average yang melangkaui paras 22,000 pada Khamis.

“Kami menjangka pasaran akan terus mengalami aliran menaik minggu depan. Kita telah menyaksikan kaunter-kaunter teknologi dan sarung tangan diniagakan tinggi pada Jumaat,” katanya.

Pertumbuhan eksport Malaysia terus mengatasi import, dengan lebihan dagangan sebanyak RM9.88 bilion pada Jun 2017, menjadikan lebihan dagangan 236 bulan berturut-turut sejak November 1997, dan tertinggi sejak April 2016.

Lebihan dagangan pada Jun, sebanyak RM9.88 bilion, iaitu nilai tertinggi dari segi lebihan dagangan sejak April 2016 dan jumlah dagangan Malaysia bagi bulan itu meningkat 7.0 peratus kepada RM136.26 bilion berbanding RM127.38 bilion yang dicatatkan pada Jun 2016.

Seorang lagi peniaga berkata, peserta pasaran juga akan memantau pengumuman mengenai data pembayaran gaji bukan perladangan Amerika Syarikat (AS) bagi bulan Julai 2017 untuk menentukan pergerakan pasaran minggu depan. Pasaran tidak menentu sepanjang minggu setelah kurang pemangkin.

Bagi asas mingguan, penanda aras FBM KLCI menambah 7.45 mata kepada 1,774.53 daripada 1,767.08 minggu lepas.

Indeks FBM Emas menokok 28.24 mata kepada 12,619.87, Indeks FBMT 100 naik 35.58 mata kepada 12,268.19 manakala Indeks FBM Emas Syariah meningkat 14.32 mata kepada 12,744.01. FBM 70 susut 16.72 mata kepada 14,956.75, dane FBM Ace berkurangan 40.23 mata kepada 6,576.41.

Mengikut sektor pula, Indeks Perladangan meningkat 10.99 mata kepada 7,850.78 dan Indeks Perusahaan susut 8.68 mata kepada 3,265.33 dan Indeks Kewangan berkurangan 3.52 mata kepada 16,822.86.

Jumlah dagangan merosot kepada 7.31 bilion unit bernilai RM9.79 bilion bernilai 7.87 bilion unit bernilai RM9.03 bilion pada minggu lepas.

Jumlah dagangan pasaran utama naik sedikit kepada 5.10 bilion saham bernilai RM8.87 bilion bernilai 5.08 bilion saham bernilai RM8.45 bilion pada Jumaat lepas.

Jumlah dagangan waran melonjak kepada kepada 1.20 bilion unit bernilai RM173.04 juta bernilai 580.48 juta unit bernilai RM63.99 juta sebelumnya.

Di Pasaran ACE pula, jumlah dagangan bertambah kepada 2.40 bilion saham bernilai RM733.74 juta bernilai 2.17 bilion saham bernilai RM506.05 juta. – MalaysiaGazette