Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersama Presiden PKR merangkap Adun Kajang, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menaiki Bas Smart Selangor selepas merasmikanya di Bandar Bukit Mahkota, Bangi, Kajang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 05 OGOS 2017.

KAJANG – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali mengumumkan kajian yang dibuat Merdeka Centre yang mendapati prestasi sebanyak 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu meningkat sebanyak 11 peratus.

“Kajian ini baru dilengkapkan seminggu lalu, sukacita dimaklumkan bahawa prestasi PBT Selangor telah menunjukkan trend peningkatan yang sungguh signifikan sebanyak 11 peratus.

“Majlis Perbandaran Kajang (MPKj)  telah mencapai kepuasan rakyat sebanyak 72 peratus, ini membuktikan kepuasan terhadap PBT semakin meningkat selaras dengan aspirasi mandat yang diberikan rakyat,” ujarnya semasa merasmikan Bas Smart Selangor MPKj di sini hari ini.

Mohamed Azmin menjelaskan terdapat empat faktor yang mendorong peningkatan tersebut  termasuk pengurusan PBT yang semakin baik dan cekap, kualiti perkhidmatan kutipan pepejal yang semakin baik, kebersihan yang meningkat dan penyelesaian aduan yang semakin singkat.

“Tahap kepuasan bidang utama bidang PBT juga melibatkan peningkatan yang memuaskan,” ujarnya lagi.

Sementara itu, beliau berkata, Bas Smart Selangor yang ditawarkan secara percuma menawarkan dua laluan iaitu komuter Bangi – Bandar Seri Putra – KUIS – Bandar Bukit Mahkota serta MRT BTHO – Cheras Perdana – Taman Tun Perak.

Empat bas elektrik bagi kedua-dua laluan ini menelan belanja kos operasi setahun sebanyak RM1,470,220.

Perkhidmatan itu tambahan kepada servis sedia ada iaitu laluan sebelum ini Bandar Kajang – Kompleks Hentian Kajang.

Pada majlis yang sama Mohamed Azmin turut merasmikan pecah tanah Dewan Komuniti Bandar Bukit Mahkota di sini.- MalaysiaGazette