Tengku Razaleigh Hamzah
Calon Presiden UMNO Tengku Razaleigh Hamzah mahu budaya politik wang dalam pemilihan parti itu dapat dihapuskan, sekali gus perwakilan dapat memilih pemimpin mereka dengan lebih jujur dan ikhlas.

KUALA LUMPUR – Pertelagahan antara Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut mendapat reaksi veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah.

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, ‘perbalahan’ mantan Perdana Menteri dengan Naib Presiden yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO itu hanya bersifat peribadi.

“Pada saya perbalahan mereka berdua tidak mempunyai kepentingan untuk rakyat. (Konflik) ini lebih kepada serangan peribadi,” katanya ketika ditemui media pada program Jamuan Rakyat Anak Kelantan anjuran Persatuan Anak-Anak Kelantan Darul Naim (PAKATAN DARUL NAIM) di Istana Budaya di sini, hari ini.

Menurut Tengku Razaleigh yang lebih mesra dengan panggilan Ku Li, beliau tidak menolak kemungkinan Pilihan Raya Umum ke-14 sudah dekat apabila berlaku ‘pergaduhan’ yang rancak antara pembangkang dengan UMNO.

“Serabut tengok kempen serang menyerang ini. Ia tak lebih kepada gerakan untuk tarik perhatian rakyat supaya memilih parti mana yang nampak seolah nak menjaga kebajikan masyarakat.

“Bagaimanapun, terpulang kepada rakyat untuk memilih parti mana yang mereka nak sokong,” katanya.

Ditanya mengenai cabaran Ahmad Zahid terhadap Dr. Mahathir, Ku Li berkata, terpulang kepada mereka berdua untuk menyahut ataupun tidak cabaran itu.

“Terpulang pada mereka… pada saya (cabaran itu) tak ada kepentingan rakyat. Ini masalah diri dan peribadi,” katanya. – MalaysiaGazette