Azizah Mohd Dun

KUALA LUMPUR – Bagi menjamin penjagaan kesihatan warga emas menjelang 2030, kerajaan bercadang untuk membentangkan Rang Undang-undang (RUU) berkaitan perkara itu di Parlimen tidak lama lagi.

Perkara itu diumumkan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun ketika menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris.

“Setakat ini tiada akta khusus bagi penjagaan warga emas di Malaysia. Sehubungan itu, satu Rang Undang-undang Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Warga Emas akan dibentangkan di Parlimen bagi memastikan kualiti minimum penjagaan warga emas dengan menetapkan piawaian jagaan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Jelas Azizah, pelaksanana RUU berkenaan dilihat perlu kerana tiada akta khusus untuk penjagaan warga emas di negara ini.

Dibawah Dasar dan Pelan Tindakan Warga Emas Negara yang diluluskan pada 2011, pelbagai inisiatif akan dilaksanakan oleh kerajaan bagi mewujudkan warga emas yang lebih berdikari, bermartabat diri dan dihormati.

Menurut Azizah, langkah itu perlu memandangkan negara kini menuju status ke arah negara tua menjelang 2030 nanti.

Ini kerana menjelang tahun itu, Malaysia akan mencatat 5.80 juta warga emas yang menjadikan 15.3 peratus daripada jumlah penduduk negara ini.

“Kementerian yakin bahawa Dasar dan Pelan Tindakan Warga Emas Negara dan segala inisiatif yang dinyatakan merupakan satu bentuk rancangan rapi dalam merencanakan peningkatan kualiti hidup warga emas bukan sahaja daripada aspek kesihatan, sosial dan ekonomi malah ia turut merangkumi semua aspek berkaitan warga emas,” katanya di Dewan Rakyat. -MalaysiaGazette.