Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Selepas menarik balik pindaan Rang Undang-undang (RUU) Undang-Undang Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian Pindaan) 2016 (Akta 164) hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata pindaan terbaharu akta itu akan dibuat esok.

Penarikan balik itu dibuat oleh Azalina menggunakan Peraturan Mesyuarat 62 untuk menarik semula RUU Akta 164.

“Pindaan ini dibuat agar tidak berlaku percanggahan dalam mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan selaras dengan prinsip doktrin stare decisis (dari satu Mahkamah Tinggi pada Mahkamah Rendah) yang mana keputusan mahkamah tertinggi terhadap pentafsiran Klausa (4) Perkara 12 adalah terikat,” ujar Azalina dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, kerajaan telah meminda RUU tersebut untuk dibacakan kali pertama dan diperdebatkan dalam sidang (Dewan Rakyat) kali ini dengan mengugurkan Fasal 88A bagi mengelak amalan penukaran agama anak-anak secara unilateral (persetujuan sebelah pihak).

Tambah Azalina, notis pemberitahuan mengenai RUU yang baru telah dihantar kepada Dewan Rakyat.

“Sehubungan itu, kerajaan berharap semua pihak mengambil sikap positif demi menjaga prinsip kemajmukan bangsa dan perkara ini secara rakyat di negara ini.

“Oleh itu, semua pihak diharap menyokong RUU baru ini dan tidak mempolitikkan isu ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette