Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Veteran DAP, Lim Kit Siang hari ini menzahirkan rasa ‘terima kasih’ beliau terhadap Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak atas tindakan pantas beliau yang mengarahkan babak yang dikatakan menghina DAP dipotong daripada filem Malay Regiment.

Penasihat DAP itu turut berkata, sesebuah filem yang diilhamkan oleh anak seni negara perlu mengelak daripada mencetuskan perasaan benci masyarakat terhadap sesiapa sahaja.

“DAP terima kasih kepada Datuk Salleh Said Keruak yang beri maklumat mengenai perkara ini. Saya mengalu-alukan langkah yang diambil oleh Salleh.

“Filem yang dibiayai oleh dana kerajaan dengan matlamat untuk memupuk semangat patriotisme dalam hati dan minda orang muda, tidak boleh disalahgunakan sebagai alat politik untuk membiakkan kebencian dan penghinaan terhadap pihak yang mencari kebaikan bangsa, untuk semua tanpa mengira kaum, agama dan rantau,” katanya dalam satu sidang media di pejabat Ketua Pembangkang, Dewan Rakyat hari ini.

Filem Datuk Jurey Latiff Rosli itu akan ditayangkan pada 31 Ogos ini.

Ia mengandungi babak penggunaan kereta dengan nombor pendaftaran DAP165 di hadapan Parlimen.

Nombor pendaftaran itu seakan-akan perkataan “DAPIGS” yang sering digunakan oleh pahlawan papan kekunci anti-DAP untuk menghina dan memburuk-burukkan DAP di Internet. – MalaysiaGazette.