Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin bergambar dengan maskot Sukan SEA KL 2017 selepas melancarkan Lagu Tema Temasya dan Seribu Patung Rimau Sukan SEA KL 2017 di pintu besar pusat membeli belah Pavilion, Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR – Khairy Jamaluddin mengambil pendirian tidak mencampuri keputusan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang menggugurkan S.Komalam Shelly daripada penyertaan ke Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 kali ini.

Menteri Belia dan Sukan itu mengambil pendekatan itu dalam perkara melibatkan atlet wanita pecut negara acara 4×100 itu memandangkan keputusan itu dibuat atas sebab-sebab tertentu yang munasabah.

“Keputusan oleh pengurusan sukan olahraga itu telah dibuat mengikut saluran yang betul dan sudah dimaklumkan kepada Majlis Sukan negara dan Majlis Olimpik Malaysia.

“Jadi saya tidak mahu mencampur tangan dalam isu ini, biarlah pengurusan sukan itu sendiri menentukan langkah seterusnya kerana Komalam digugurkan atas sebab-sebab tertentu.

“Saya tidak boleh sibuk dalam sebarang urusan pemilihan atau pengguguran atlet kerana sebagai menteri kena menjaga dasarnya,” katanya kepada pemberita di majlis pelancaran Lagu Bangkit Bersama untuk Sukan SEA KL2017 di pekarangan Pusat Membeli Belah Pavillion petang tadi.

Ditanya sama ada beliau pengguguran Komalam berisiko menjejaskan peluang pasukan negara, Khairy menjawab, persoalan yang sama dikemukakan beliau kepada jawatankuasa pemilihan itu.

“Sudah pasti saya sendiri tertanya soalan itu apakah ia boleh menjejaskan peluang pasukan kita tetapi saya diberi penjelasan dan jawapan memuaskan bahawa ada atlet lain boleh digantikan mengisi tempat Komalam.

“Saya pun berpuas hati dengan jawapan itu. Saya juga difahamkan perkara atlet bakal ganti telah dibincangkan di peringkat jawatankuasa Eksekutif Majlis Olimpik Malaysia.

“Sama ada mereka hendak maklumkan pengganti atau sebaliknya terpulang kepada Jawatankuasa Teknikal yang menguruskan pemilihan atlet nanti,” tegasnya lagi.

Pada ketika ini, KOM telah menggugurkan pelari pecut, Komalam Shelly yang kemudiannya membuat rayuan kepada jawatankuasa untuk mempertimbangkan keputusan itu.

Perkara itu diakui pengurus pasukan olahraga negara, Datuk Salim Parlan sambil menganggap pengguguran Komalam yang beraksi dalam skuad kuartet sudah dimuktamadkan KOM sendiri. – MalaysiaGazette