KUALA LUMPUR – Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) merupakan salah satu contoh kejayaan sistem penyampaian kerajaan apabila pembinaannya menepati bajet dan mengikut jadual.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, ia sekaligus dapat menyangkal dakwaan pembangkang ekonomi Malaysia di ambang kegagalan.
“Tidak masuk akal apabila ada pihak menggambarkan ekonomi negara mengalami kegagalan seperti mana yang didakwa pemimpin pembangkang.
“Bank Dunia melaporkan ekonomi Malaysia semakin meningkat maju dan mempunyai kekuatan dan ia akan terus diperkuatkan dengan usaha berterusan kerajaan dan rakyat negara ini,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan bangunan MITEC kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di sini malam ini.
Hadir sama ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Naza, SM Nasarudin SM Nasimuddin.
Najib berkata, beberapa minggu lepas, Malaysia telah memiliki kemudahan infrastuktur berkelas dunia iaitu Transit Aliran Massa (MRT) dan kini dengan siapnya MITEC – pusat konvensyen bertaraf dunia.
Perdana Menteri berkata, sektor MICE (mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran) dijangka terus mengukuhkan kedudukan Kuala Lumpur menjadi satu daripada lima bandar raya paling kerap dikunjungi menjelang tahun 2020.
Industri pelancongan perniagaan Malaysia juga, katanya, dijangka menyumbang sebanyak RM3.9 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK) selain menjana 16,700 peluang pekerjaan menjelang tahun 2020.
“Saya difahamkan MITEC merupakan pembangunan pertama bercampur berimpak tinggi dalam projek KL Metropolis.
“Inilah yang dikatakan bandar dalam bandar di mana kawasan ini seluas 30 ekar bakal dipenuhi dengan kondominium, ruang kedai, hotel dan sebagainya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.