Gambar fail

PUTRAJAYA – Seorang ejen unit amanah didakwa lagi di Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak hari ini atas 444 tuduhan meliwat anak kandungnya yang berusia 15 tahun dalam tempoh tujuh bulan sejak awal tahun ini.

Lelaki berusia 36 tahun itu yang tidak dibenarkan diikat jamin menghadapi sejumlah 594 pertuduhan liwat termasuk 150 tuduhan ketika didakwa semalam.

Hakim, Yong Zarida Sazali menetapkan sebutan pada 18 September ini untuk mendapatkan dokumen dan laporan berkaitan kes.

Pendakwaan hari ini menjadikan sejumlah 626 pertuduhan dihadapinya melibatkan kesalahan liwat, rogol, seksual fizikal dan penganiayaan seks terhadap mangsa.

Bapa kepada tiga orang anak perempuan itu didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap mangsa di rumah mereka di Sungai Way, Petaling Jaya dekat sini pada tarikh-tarikh berlainan pada sebelah pagi, petang dan malam antara Januari dan Julai tahun ini.

Akhbar melaporkan dia didakwa melakukan perbuatan terkutuk itu selepas mangsa yang kini berusia 15 tahun tinggal bersamanya ekoran perceraian dengan isteri. – MalaysiaGazette