Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membuat gimik perasmian sambil diiringi Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan Selangor, YB Tuan Amirudin Shari (empat kanan) pada Karnival Inisiatif Peduli Rakyat 2017 di Kampung Baru, Batu Caves, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 12 OGOS 2017

BATU CAVES – Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali berkata, Pakatan Harapan (PH) perlu membuat strategi baru dengan meletakkan beliau di Parlimen Pekan.

Ujar Azmin, sekiranya PKR tidak menyenaraikan beliau bagi mempertahankan Parlimen Gombak, maka langkah strategik yang harus diambil oleh parti itu adalah dengan meletakkan beliau di Pekan bagi menentang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Kita kena menang semua, saya sudah sebut kalau saya nak pindah, saya tidak pindah ke Ampang.

“Kalau parti suruh saya pindah, dari segi strategi saya nak pindah Pekan,” katanya selepas merasmikan Karnival Inisiatif Peduli Rakyat di Kampung Baru, Batu Caves hari ini.

Azmin pada Julai lalu berkata, beliau memilih untuk bertanding di Pekan setelah tersebarnya khabar angin beliau mahu bertanding di Parlimen Ampang.

Ia ekoran kemelut yang berlaku antara Pas dan PKR di Selangor berhubung keputusan memutuskan hubungan kerjasama antara kedua-dua parti baru-baru ini.

“Selangor, Alhamdulillah. Jadi kita berhijrah ke tempat lainlah, Pekan mungkin,” katanya berseloroh ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri peringkat Negeri Selangor bulan lalu.

Perkara itu dikatakan menjadi punca kepada keputusan Mohamed Azmin berhasrat ‘meninggalkan’ Parlimen Gombak kerana kemenangannya pada PRU-13 lalu banyak didorong oleh undi daripada penyokong Pas.

Sebelum ini Azmin dilihat turun ke Pekan pada 29 Julai lalu bertemu kepimpinan PH di kawasan berkenaan.

Malah Azmin turut dilihat duduk semeja dengan bekas Presiden Parti Bebas Rasuah, Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor.

“Kami membincangkan mengenai perbincangan Putrajaya, bukan sahaja mengenai Pekan. Setakat perbincangan Pekan, kita tidak dapat rampas kerajaan. Yang kita lakukan sekarang adalah perbincangan Putrajaya, Bagan Datuk, dan itu digabungkan menjadi perbincangan Putrajaya.

“Hubungan saya dengan rakyat Malaysia sangat baik. Ezam juga rakyat Malaysia. Jadi hubungan saya dengan rakyat Malaysia yang mahu menjatuhkan UMNO BN,” katanya lagi.

Dalam pertemuan itu, Azmin dikatakan mesra dengan rakan lamanya di PKR.

“The Pekan talk (perbualan mengenai Pekan)….Saya bersama MB DS (Menteri Besar Datuk Seri) Azmin sedang mendengar penerangan status Pekan daripada Datuk Rahman Ketua Bersatu Pekan sebentar tadi..,” tulis Ezam dalam status Facebooknya. -MalaysiaGazette.