Diego Costa

LONDON – Diego Costa dijangka kembali berlatih semula bersama Chelsea di Stamford Bridge.

Sumber Sky Sports memberitahu bahawa bintang antarabangsa Sepanyol itu akan kembali ke kelab the Blues seperti yang dipersetujui dalam terma kontrak sebelum ini.

Penyerang itu kini berada di tanah kelahirannya Brazil dan mengugut untuk terus kekal di situ dan tidak berhasrat untuk kembali ke London dan meninggalkan kelab secara percuma.

Namun senario itu tidak disenangi Chelsea yang mahu Costa kembali ke latihan bersama pasukan dan bersaing untuk pemilihan.

Costa telah didenda £300,000 (RM1.6 juta) oleh Chelsea kerana gagal hadir ke latihan pra musim bersama pasukan.

Pemain berusia 28 tahun itu telah diberi cuti tambahan musim lalu sebelum diminta melaporkan diri pada 17 Julai lalu.

Berhijrah dari Atletico Madrid pada tahun 2015, Costa menjadi kunci utama membantu Chelsea menjulang Piala Liga Perdana Inggeris (EPL) dibawah bimbingan pengendali baharu Antonio Conte.

Penyerang antarabangsa Sepanyol itu telah menjaringkan lebih 50 gol bersama the Blues.

Tetapi Costa didakwa mempunyai hubungan yang rengang dengan Conte.

Costa dalam satu kenyataan mendakwa Conte telah menghantar khidmat pesanan ringkas kepadanya sebagai memaklumkan pemain itu tidak lagi diperlukan di kelab itu.

Tambahan pula Costa menganggap tindakan Chelsea itu adalah cubaan untuk menghalang dia daripada kembali ke kelab asal Atletico Madrid.

“Jika perlu, saya akan kekal di Brazil dan bersedia tinggal di sini selama setahun tanpa bermain bola sepak.

“Saya tidak kisah jika Chelsea denda saya untuk setahun dan tidak membayar gaji sepanjang tempoh itu.

“Jika saya salah, sudah lama saya kembali berlatih dengan Chelsea, tapi saya akan kembali kuat semula,” jelas Costa.

Costa dijangka kembali menjalani latihan di kelab itu memandangkan kontraknya masih berbaki dua tahun bersama Chelsea.

Ketiadaan Costa telah memberi kesan apabila Chelsea memulakan kempen EPL 2017-18 dengan tewas di tempat sendiri 2-3 kepada Burnley Sabtu lalu.