Mohd Isa Abdul Samad hari ini hadir di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memberi keterangan berhubung siasatan pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC). --fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi  Felda Global Ventures Holdings Behad (FGV) , Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad hari ini ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung isu pembelian dua buah hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC).

Sumber berkata Mohd. Isa ditahan ketika hadir di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada jam 2.40 petang untuk memberi keterangan lanjut berhubung pembelian dua hotel oleh FIC antara tahun 2014 dan 2015 itu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Dato Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Beliau berkata, tindakan itu merupakan susulan hasil daripada keterangan-keterangan yang telah dirakam oleh pasukan penyiasat  berhubung pembelian hotel tersebut sebelum ini.

“Justeru itu, SPRM yakin mempunyai  asas yang kukuh untuk membuat penahanan tersebut supaya dapat membantu melengkapkan siasatan kes tersebut,” tambah beliau.

Isa dilihat tiba bersama dua orang peguam di perkarangan ibu pejabat SPRM pada kira-kira 2.40 petang, namun hanya beliau yang memasuki pejabat SPRM.

FIC ialah anak syarikat Felda yang terlibat dalam aktiviti perniagaan bukan perladangan.

SPRM dilaporkan membuka kertas siasatan berhubung pembelian sebuah hotel di Kensington, London antara 2013 dan 2015 oleh FIC, dipercayai harga yang dibayar jauh lebih tinggi berbanding harga asal hingga menyebabkan anak syarikat FELDA itu mengalami kerugian jutaan ringgit.

FIC dilaporkan membeli sebuah hotel empat bintang di Kensington, London pada STG60 juta (RM330 juta) pada 16 Dis 2014.

SPRM juga dilaporkan memulakan siasatan ke atas pembelian hotel di Kuching, Sarawak susulan maklumat yang diterima oleh pasukan penyiasat ketika menjalankan siasatan terhadap pembelian hotel di London oleh FIC sebelum ini. – MalaysiaGazette