KUALA LUMPUR – Telekom Malaysia Berhad (TM) memperkenalkan konsep baharu bagi premis TMpointnya yang terletak di Wisma Shah Alam, Selangor.

Konsep terbaharu premis ini akan membolehkan para pelanggan mendapatkan himpunan lengkap penawaran-penawaran TM dalam persekitaran yang mesra dan interaktif sementara menunggu giliran untuk dilayan oleh anggota Khidmat Pelanggan TMpoint.

Konsep ini memberikan para pelanggan pengalaman rumusan konvergens kediaman dan perniagaan TM, ke arah menjadikan “Hidup dan Perniagaan Lebih Mudah”.

Mengulas mengenai pelancaran tersebut, Naib Presiden TM Selangor, Datuk Zuraidah Mohd Said berkata, TMpoint itu merupakan premis yang menyuntik elemen perkhidmatan UniFi serba baharu yang ceria, segar dan terkhusus, justeru membawakan pengalaman runcit baharu bagi himpunan
rumusan konvergens kediaman dan perniagaan TM.

Konsep baharu TMpoint ini pertama kali diperkenalkan di premis di Quill Mall City, Kuala Lumpur dan telah dilaksanakan di beberapa premis lain termasuk TMpoint Pelangi, Johor Bahru; TMpoint Kulai, Johor; dan TMpoint Bukit Raja, Selangor.

Konsep ini juga akan dilaksanakan di premis-premis TMpoint yang lain secara berperingkat, dengan tiga lagi akan dibuka di Jalan Burmah, Pulau Pinang; Damansara Utama, Petaling Jaya; dan Pandan Indah, Ampang.

“Kami percaya TMpoint baharu ini akan mencipta pengalaman pusat interaksi pelanggan baharu kepada pelanggan kami yang dihargai seluruh negara – memenuhi janji kami, “Hidup dan Perniagaan Lebih Mudah”.

Pada masa ini, terdapat 191 premis TMpoint di seluruh negara, termasuk premis-premis di Pusat Transformasi Bandar (UTC).

Premis-premis ini memenuhi keperluan komunikasi gaya hidup dan perniagaan rakyat Malaysia yang semakin meningkat, selain menawarkan pelbagai rangkaian produk serta aksesori berkaitan telekomunikasi dan IT bagi kemudahan pelanggan kediaman dan perniagaan. – MalaysiaGazette