Datuk Jo
Arkib Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani

KUALA LUMPUR – Seorang pemimpin UMNO lahir mengikut peredaran zaman yang sesuai dengan pentadbirannya, demikian menurut Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Menurutnya, kesemua Presiden UMNO yang diangkat untuk memimpin parti adalah sesuai dengan agenda dan peralihan kuasa masing-masing ketika mendapat kuasa mentadbir negara.

Sebagai contoh, Tunku Abdul Rahman selaku Perdana Menteri pertama Malaysia telah memainkan peranan yang paling penting apabila mendapat kemerdekaan daripada British, 60 tahun lalu.

“Sebab itu parti UMNO parti keramat yang lahirkan setiap pemimpin mengikut kesesuaian zaman. Sebab itu Tunku Abdul Rahman sesuai di zaman dia.

“Kemudian diganti dengan Tun Abdul Razak dan dipindah ke Tun Hussein Onn. Bila tidak dapat disesuaikan dengan keadaan ketika itu, kita dapat peralihan kuasa kepada Tun Mahathir,” katanya dalam ucapan perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Lembah Pantai hari ini.

Lebih 500 ahli dan perwakilan termasuk Ketua Bahagian UMNO Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin hadir dalam mesyuarat berkenan.

Menurut Menteri Kewangan II itu, sekiranya bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dipilih sebagai Presiden Kedua UMNO ketika itu, belum tentu Malaysia akan mendapat kemerdekaan pada tahun 1957.

“Pemimpin UMNO dilahirkan ikut zaman. Kalau Tun Mahathir dilahirkan pada waktu belum dapat kemerdekaan, saya jamin British tidak akan beri,” katanya.

Jelasnya lagi, UMNO tetap akan utuh kerana sifar setia kepada presiden yang dilantik biar sesiapa pun yang dipertanggungjawabkan untuk memikul tugas tersebut.

“UMNO utuh kerana kita menyokong kepimpinan Mahathir sebagai presiden ketika itu.

“Proses peralihan pemimpin dibuat secara semula jadi. Kalau kita ubah sifat semulajadi ini, kita akan berdepan masalah besar nanti.

“22 tahun Mahathir memerintah negara kita, kita sokong (Mahathir) sebagai Presiden UMNO. Pemimpin mana yang tidak buat silap?,” soal Johari.

Justeru katanya, ahli-ahli UMNO perlu terus teguh di belakang Datuk Seri Najib Razak sebagai ‘nakhoda’ UMNO yang mengemudi parti itu kini.

“Banyak parti yang merubah pemimpin bukan secara semulajadi menghadapi masalah sebab UMNO ibarat sebuah kapal. Ada seorang nakhoda kapal yang tengah mengemudi kita dalam lautan.

“Kita menyampah tengok pemimpin ini dan tidak suka kepada dia, dan kita bertindak cucuk kapal supaya bocor dengan harapan boleh tukar pemimpin.

“Tetapi kita tidak sedar, kapal yang kita bocorkan ini, dengan kita semua akan karam,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.