Home Ekonomi IKEA tubuh pusat pengedaran ASEAN di Malaysia

IKEA tubuh pusat pengedaran ASEAN di Malaysia

KUALA LUMPUR – IKEA, peruncit perabot terbesar dunia yang berpangkalan di Belanda melabur sebanyak RM908 juta untuk menubuhkan Pusat Pengedaran dan Rantaian Pembekalan Serantau ASEAN di Malaysia.

Pusat itu akan mengguna pakai struktur dan teknologi Pusat Pengedaran Serantau terbesar di Jerman, juga akan menjadi antara 10 Pusat Pengedaran Serantau yang terbesar Kumpulan IKEA di peringkat global.

Dengan kemudahan itu IKEA akan menguruskan sebanyak 9,500 inventori bagi unit-unit simpanan stok yang bernilai RM6.6 bilion setahun.

Gudang pengkhususan IKEA yang berkeluasan 100,000 meter ini akan menggunakan sistem ICT bersepadu dan automasi untuk mengurangkan pergantungan ke atas buruh dan akan meningkatkan kecekapan, ketepatan proses pengurusan inventorinya.

“Dengan penubuhan Pusat Pengedaran dan Rantaian Pembekalan Serantau ini, Malaysia akan mengukuhkan peranannya dalam menyokong pertumbuhan IKEA di rantau ini.

Pusat ini akan memberi khidmat kepada 12 gedung IKEA di ASEAN, yang akan meningkat kepada 20 buah gedung pada 2026,” kata IKEA.

Sehingga kini, MIDA telah meluluskan sebanyak 26 projek Hab Prinsipal (PH) sejak diperkenalkan pada Mei 2015.

Bagi tempoh 10 tahun akan datang, projek-projek ini akan menyumbang perbelanjaan perniagaan sebanyak RM16.8 bilion, menggunakan perkhidmatan sampingan tempatan bernilai RM2.2 bilion dan menjana lebih daripada 1,800 pekerjaan bernilai tinggi untuk rakyat Malaysia.

Antara syarikat yang memperoleh skim PH termasuk Honeywell, Kumpulan Super, Avago Technologies, Lotte Chemical Titan, Daikin dan Sharp. – MalaysiaGazette