KUALA LUMPUR – Mahkota raja pecut dalam acara 100 meter (m) pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) menjadi milik pelari negara, Khairul Hafiz Jantan di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, malam ini.

Khairul yang juga pemegang rekod kebangsaan mencatatkan masa 10.38 saat (s) untuk menamatkan penantian negara dalam acara pecut itu selama 14 tahun.

Kali terakhir emas dimenangi oleh bekas raja pecut Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad pada Sukan SEA 2003 di Hanoi, Vietnam.

Muncul di trek penuh yakin dan sentiasa tersenyum, pelari kelahiran Melaka itu pantas memecut sebaik sahaja dilepaskan dengan meninggalkan pelari Filipina, Eric Shauwn Cray dan Thailand, Kritsada Namsuwun, masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Kedua pelari itu mencatat masa sama 10.43s.

Biarpun terjatuh selepas menamatkan perlumbaan, Khairul Hafiz yang dikenali The Speedy Jantan pantas bangun meraikan kemenangannya.

Khairul Hafiz yang berusia 19 tahun turut menaiki pentas VIP untuk bertemu dan memeluk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Turut hadir menyaksikan detik kemenangan itu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Sementara itu, gelaran ratu pecut pula menjadi milik pelari Vietnam, Le Tu Chinh dengan catatan masa 11.56s.

Pelari negara, Zaidatul Husniah Zulkifli meraih perak dengan catatan masa 11.74s dan pelari Singapura, P Veronica Shanti sekadar berpuashati dengan gangsa dengan catatan 11.76s. – MalaysiaGazette